Timbalan Pengerusi Kumpulan New Straits Times Press (NSTP) Datuk Kalimullah Hassan mungkin berdepan dengan perintah mahkamah dan saman balas RM100 juta daripada Matthias Chang bekas pembantu politik Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini, Chang berkata, peguamnya akan memfailkan permohonan untuk mendapat perintah mahkamah terhadap Kalimullah supaya tidak membuat kenyataan fitnah terhadapnya.

Ini ekoran perintah mahkamah sebelah pihak yang diperolehi Kalimullah untuk menghalang Chang daripada terus memfitnahnya, selepas komen yang dibuat oleh Chang dalam satu sidang akhbar pada 13 Jun lalu.

Kalimullah telah menghantar surat kepada Chang pada 20 Jun lalu yang menuntutnya memohon maaf terhadap 'siri serangan peribadi' yang didakwa dibuat oleh Chang terhadapnya pada hari berkenaan.

Apabila Chang tidak memberi sebarang respons, Kalimullah telah menfailkan saman fitnah RM50 juta dan memperolehi perintah sementara terhadap Chang, demikian menurut laporan New Straits Times hari ini.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah menetapkan 25 Julai ini untuk mendengar permohonan mendapat perintah mahkamah oleh Kalimullah dan Chang.

"Saya akan memfailkan afidavit dan permohonan untuk mengenepikan perintah mahkamah (sementara) itu," kata Chang yang juga seorang peguam.

Ditanya mengenai pembelaannya terhadap saman fitnah itu, Chang berkata, beliau akan menyediakan pembelaannya dan memfailkan saman balas RM100 juta terhadap Kalimullah dalam tempoh 21 hari seperti yang ditetapkan oleh undang-undang.

"Saya sedang menyediakan kes saman fitmah terhadapnya, tetapi dia lebih dahulu memfailkan saman terhadap saya. Oleh itu, saya perlu membuat perubahan (dalam struktur) kepada pembelaan dan saman balas," kata Chang.

"Saya akan mengadakan perjumpaan (dengan para peguam) untuk meneliti pembelaan dan saman balas tersebut. Kemudian, kita akan memfail dan menyerahkan dokumen tersebut (kepada Kalimullah)," katanya.

Chang akan mengemukakan saman balas itu berhubung dakwaan kenyataan berunsur fitnah terhadapnya dalam kolum Kalimullah dalam akhbar New Straits Times pada 25 Jun 2006.

'Sebagai rakyat prihatin'

Ditanya sama ada beliau terbabit dalam '"perang proksi", seperti dakwaan Kalimullah, Chang menegaskan beliau sentiasa bercakap sebagai seorang "rakyat yang prihatin" dan tidak wujud sebarang perang proksi.

Menurutnya adalah tidak tepat untuk melihatnya sebagai seorang proksi atau jurucakap bagi orang lain atau mana-mana pertubuhan sambil menegaskan bahawa beliau adalah seorang yang independen dan bercakap tanpa rasa bimbang dan takut.

"Ini bukan mengenai persengketaan peribadi antara dua individu, tetapi membabitkan isu yang lebih besar yang berkepentingan awam. Apabila kes ini didengar di mahkamah, maka akan terdedahlah kebenarannya," kata Chang.

Sejak pertengahan April lalu, Chang secara terbuka menyokong Dr Mahathir dalam mendapatkan penjelasan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berhubung pembatalan jambatan ke Singapura, pengeluaran Permit Import (AP) kereta dan penjualan MV Agusta Motors.

Pada 13 Jun lalu, Chang turut mempersoalkan bagaimana menantu Abdullah, Khairy Jamaluddin memperolehi RM9.2 juta untuk membeli tiga peratus pegangan dalam syarikat pelaburan ECM Libra Bhd. Terjemahan