Anuar: Sri Ram patut dilantik hakim mahkamah persekutuan
Bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Anuar Zainal Abidin berkata beliau bersimpati dengan Datuk Gopal Sri Ram, yang sering terlepas kenaikan pangkat sebagai hakim Mahkamah Persekutuan.
Bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Anuar Zainal Abidin berkata beliau bersimpati dengan Datuk Gopal Sri Ram, yang sering terlepas kenaikan pangkat sebagai hakim Mahkamah Persekutuan.
Katanya, Hakim Mahkamah Rayuan itu sepatutnya sudah lama dinaikkan pangkat sebagai hakim mahkamah tertinggi di negara ini kerana beliau telah membuktikan kewibawaannya.
Sebaliknya, kata beliau, hakim yang kurang berpengalaman dan wibawa termasuk mereka yang mendengar perbicaraan dan kes rayuan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudahkan menjawat pangkat yang lebih tinggi daripada Gopal.
"Saya bersimpati dengan Sri Ram. Pada saya, beliau sepatutnya sudah menjadi hakim Mahkamah Persekutuan," katanya dalam wawancara eksklusif dengan malaysiakini baru-baru ini.
"Jika anda meneliti hakim-hakim kita di segi pengetahuan perundangan Sri Ram lebih jauh ke hadapan daripada mereka. Beliau sepatutnya menjadi hakim Mahkamah Persekutuan. Kita akan kehilangan individu yang tinggi pengetahuah perundangannya di mahkamah tertinggi itu jika beliau tidak dinaikkan pangkat," katanya.
Anuar percaya tiada sebab mengapa Gopal harus dinafikan tempat di Mahkamah Persekutuan kerana beliau bukan sahaja seorang yang intelektual tetapi juga yang paling kanan di mahkamah rayuan.
"Jika kita mengambil kira aspek senioriti (sebagai kriteria), Sri Ram adalah yang paling senior. Jika diambil di segi intelektualnya, Sri Ram lebih jauh ke depan daripada yang lainnya. Jadi apakah sebabnya beliau tidak dinaikkan pangkat?" katanya.
Penghakiman yang keras
Anuar tidak dapat mengesahkan punca sebenar Gopal dinafikan peluang kenaikan pangkat itu, tetapi beliau mengesyaki ianya mungkin disebabkan oleh "kata-kata keras" yang sering digunakan oleh hakim itu dalam sesetengah penghakimannya.
"Ramai yang tidak suka kepadanya kerana penghakimannya dan kadang-kadang beliau menggunakan perkataan-perkataan yang boleh menyakitkan hati orang lain," katanya berseloroh.
Gopal dikenali kerana membuat penghakiman cekap tetapi ia turut mencetuskan kontroversi termasuk penghakimannya mengenai kes Metramac di mana beliau mengatakan bahawa ahli perniagaan Tan Sri Halim Saad telah 'melenyapkan' RM32.5 juta daripada sebuah syarikat pengendali tol, dan beliau (Halim) juga mendapat naungan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin.
Bulan lalu, beliau mengarahkan supaya kes adik angkat Anwar Sukma Darmawan Sasmitaat Madja dibicarakan semula atas tuduhan liwat.
Pada 1994, selaku seorang peguam kanan, beliau dilantik terus ke mahkamah rayuan tanpa melalui Mahkamah Tinggi oleh Ketua Hakim Negara ketika itu, Tun Eusoff Chin.
Sejak itu, lebih ramai hakim baru yang dinaikkan pangkat ke jawatan lebih tinggi, termasuk Hakim Datuk Augustine Paul, yang telah menjatuhkan hukuman sembilan tahun penjara ke atas Anwar bagi kesalahan menyalahgunakan kuasa.
Seorang lagi ialah Datuk Pajan Singh Gill (yang telah bersara) yang telah mengekalkan hukuman liwat terhadap Anwar, yang kemudiannya dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan.
Arus kenaikan pangkat seumpama itu telah menimbulkan kebimbangan masyarakat perundangan dan awal bulan lalu, pemimpin parti pembangkang, Karpal Singh yang juga seorang peguam telah meminta penjelasan Parlimen mengapa Gopal sering terlepas kenaikan pangkat.
Sokong idea Majlis Peguam
Dalam wawancara selama kira-kira dua jam itu, Anuar juga menyuarakan sokongannya terhadap cadangan Majlis Peguam supaya ditubuhkan suruhanjaya khas yang bertanggungjawab terhadap perlantikan dan kenaikan pangkat di bidang kehakiman.
Beliau bagaimanapun, mengingatkan bahawa keanggotaan suruhanjaya itu perlu dihadkan kepada orang-orang penting dalam masyarakat perundangan, seperti bekas hakim, ahli Majlis Peguam dan Pejabat Peguam Negara.
Katanya, orang orang politik tidak boleh menganggotainya kerana sikap mereka yang berat sebelah.
"Saya juga tidak setuju jika pihak eksekutif (kerajaan) menjadi anggotanya. Jika pihak eksekutif menjadi sebahagian daripada suruhanjaya tersebut, maka ini akan mensia-siakan sahaja idea untuk mewujudkan bidang kehakiman yang independen," katanya.
Beliau percaya pemilihan hakim secara yang betul akan juga membantu membendung amalan rasuah dalam bidang kehakiman.
Anuar, yang berkhidmat selama 30 tahun dalam bidang kehakiman, juga tidak bersetuju dengan kenyataan Eusoff bahawa Artikel 127 Perlembagaan Persekutuan bermaksud pelakuan para hakim tidak boleh terbuka kepada siasatan awam.
Bekas Ketua Hakim Negara itu memberitahu News Straits Times "jika membincangkan tingkahlaku hakim di Parlimen pun dihadkan oleh Artikel 127 , apatah lagi perbincangan (mengenainya) dalam akhbar." Beliau juga mencadangkan sekatan tersebut juga meliputi hakim yang telah bersara.
Sebaliknya, Anuar berkata, perlembagaan menggunakan secara khusus perkataan "Parlimen".
"Ini bermakna hanya Parlimen tidak boleh bincang (mengenainya), tetapi saya boleh dan anda pun boleh (juga). Di sinilah saya tidak bersetuju dengan Tun Eusoff Chin....dia kata tidak boleh," katanya. Terjemahan


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.