Tajuddin dakwa Dr Mahathir paksanya beli MAS
Tan Sri Tajuddin Ramli mendakwa, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah memaksanya membeli Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) bagi membantu menyelamatkan Bank Negara, demikian menurut satu laporan media hari ini.
Tan Sri Tajuddin Ramli mendakwa, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah memaksanya membeli Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) bagi membantu menyelamatkan Bank Negara, demikian menurut satu laporan media hari ini.
Akhbar The Sun menyifatkan dakwaanny itu sebagai satu pendedahan 'yang mengejutkan' berhubung urusniaga yang dianggap sebagai projek pengswastaan terbesar ketika itu.
Tajudin membeli 29 peratus pegangan dalam MAS daripada Bank Negara pada 1994 pada harga RM8 sesaham, walaupun harga sebenarnya di pasaran hanyalah kira-kira separuh daripada itu.
Tajudin telah memfailkan saman RM13.46 bilion terhadap kerajaan dan beberapa syarikat milik kerajaan minggu lalu.
Menurut The Sun, dalam kenyataan tuntutannya, Tajudin mendakwa Dr Mahathir mengarahnya membeli MAS yang ketika itu dalam keadaan tenat untuk mendapatkan sumber kewangan selepas Bank Negara mengalami kerugian besar dalam pasaran matawang asing, antaranya akibat spekulasi di pasaran matawang asing.
Akhbar tersebut memetik kenyataan tuntutan Tajudin sebagai menyebut, pembelian tersebut dibuat seolah-olah ianya satu urusniaga komersil kerana "adalah penting rakyat dan masyarakat pelabur antarabangsa melihatnya sebagai satu transaksi komersial biasa (yang jelasnya bukan sedemikian).
Dalam tuntutannya lagi, Tajudin, yang mendapatkan pinjaman RM1.8 bilion untuk membeli MAS berkata, beliau keberatan membeli syarikat yang kurang prestasi, tetapi Dr Mahathir memberitahunya untuk berkhidmat untuk negara.
Diminta berdiam diri
Tajudin adalah salah seorang daripada ahli perniagaan Melayu yang dipilih sendiri oleh Dr Mahathir menyertai urusniaga yang merupakan sebahagian daripada usaha meningkatkan tahap kekayaan kaum terbesar di Malaysia itu.
Tajudin juga mendakwa, beliau diberitahu supaya mendiamkan diri mengenai urusniaga tersebut, dan beliau juga tidak dibenarkan menguruskan syarikat berkenaan mengikut amalan biasa komersial, tetapi perlu mendapatkan pandangan kerajaan terlebih dahulu.
Kerajaan menjadi sasaran kritikan hebat apabila ia membeli balik syarikat penerbangan tersebut itu mengalami kerugian pada 2000, yang dianggap sebagai usaha menyelamatkan Tajudin selepas dia tidak mampu menjelaskan pinjamannya dan kemudiannya diambil alih oleh Danaharta.
Kerajaan membelinya pada harga RM8 sesaham, iaitu dua kali ganda melebihi nilai harga di pasaran.
Tajudin mengemukakan saman tersebut sebagai responsnya kepada saman yang difailkan oleh Telekom Malaysia dan anak syarikatnya, Celcom yang dimiliki Tajudin sebelum ini, yang menuntut wang bagi bayaran gaji serta dari perjanjian pengurusan pelaburan, kata laporan the Sun.
Tajudin dan peguamnya tidak dapat dihubungi untuk mendapat komen mengenainya.
- AFP

