19 agensi k'jaan Johor gagal kemuka penyata kewangan
Sembilan belas dari 27 agensi kerajaan negeri Johor gagal menghantar penyata kewangan tahun 2004 mengikut tempoh yang ditetapkan oleh Jabatan Audit Negara, dakwa Ketua Pemuda PAS Johor, Khairul Faizi Ahmad Jamil.
Sembilan belas dari 27 agensi kerajaan negeri Johor gagal menghantar penyata kewangan tahun 2004 mengikut tempoh yang ditetapkan oleh Jabatan Audit Negara, dakwa Ketua Pemuda PAS Johor, Khairul Faizi Ahmad Jamil.
Agensi-agensi itu ialah lapan badan berkanun, sebuah majlis Agama Islam dan 10 pihak berkuasa tempatan (PBT).
Khairul Faizi berkata, pihak terbabit ialah Perbadanan Johor, Yayasan Pelajaran Johor, Perbadanan Islam Johor, Yayasan Warisan Negeri Johor, Perbadanan Perpustakaan Awam Johor, Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Takzim, Perbadanan Stadium Johor, Tabung Pembangunan Masjid dan Amal Jariah Johor serta Majlis Agama Islam Johor.
Katanya, hanya lapan agensi yang telah menghantar laporan kewangan dalam tempoh yang ditetapkan.
"Ini bermakna 70.37 peratus agensi gagal diaudit seperti termaktub dalam Akta Audit 1957," katanya dalam satu kenyataan.
Khairul Faizi berkata, gejala ini tidak sepatutnya berlaku kerana agensi-agensi berkenaan mendapat peruntukan yang banyak dari kerajaan, malah PBT merupakan agensi yang memungut cukai pintu daripada rakyat.
"Amat menyedihkan kebanyakan agensi ini tidak berupaya menguruskan dana ini dengan cara yang sewajarnya," ujar beliau.
Menurut beliau, rakyat Johor amat mencurigai pengurusan kewangan agensi terbabit apabila ia gagal melaporkan penyata akaunnya untuk diaudit.
Telus dan dedikasi
"Yayasan Pelajaran Johor mendapat peruntukan yang banyak dari kerajaan tetapi malangnya sudah enam tahun tidak menghantar laporan kewangannya kepada Jabatan Audit Negara," katanya.
Khairul Faizi bertanya, bagaimana kerajaan Johor boleh terus membiarkan agensi ini beroperasi tanpa dipantau urusan kewangannya?
Katanya, keadaan ini tentunya bertentangan dengan usaha Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mahu semua agensi kerajaan melaksanakan tanggungjawabnya dengan telus dan dedikasi.
Sehubungan itu, Khairul Faizi menggesa kerajaan negeri memantau dan bertindak terhadap agensi kerajaan negeri yang gagal mematuhi Akta Audit 1957 dan mewujudkan jawatankuasa kira-kira peringkat kerajaan negeri yang dianggotai wakil kerajaan dan pembangkang.
Beliau juga meminta kerajaan negeri mencari jalan untuk meningkatkan pungutan hasil dengan mewujudkan pelbagai mekanisma pungutan dan mengurangkan perbelanjaan melalui perbelanjaan berhemah.
Selain itu, katanya, kerajaan negeri juga perlu menerokai sumber pendapatan baru.
Beliau juga memberitahu, kerajaan Johor kini menangung hutang tertangguh sebanyak RM524.87 dengan kerajaan Pusat.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.