Penjara lima tahun untuk majikan cuai
Hukuman penjara lebih berat maksimum lima tahun atau denda sehingga RM250,000 akan dikenakan ke atas majikan yang mengabaikan keselamatan di tempat kerja apabila Akta Kilang dan Jentera 1967 dipinda.
Hukuman penjara lebih berat maksimum lima tahun atau denda sehingga RM250,000 akan dikenakan ke atas majikan yang mengabaikan keselamatan di tempat kerja apabila Akta Kilang dan Jentera 1967 dipinda.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Abdul Rahman Bakar berkata pada masa ini, majikan yang didapati melakukan kecuaian hingga mengakibatkan kecederaan serius atau kematian pekerja, hanya didenda RM5,000.
Oleh itu katanya, akta tersebut perlu dipinda bagi memberi perlindungan maksima kepada pekerja.
"Akta tersebut sudah lapuk dan tidak sesuai lagi berikutan penggunaan secara meluas teknologi baru dalam sektor pekerjaan di negara ini.
"Pindaan itu juga bagi membolehkan semua sektor pekerjaan dilindungi kerana akta lama hanya melindungi pekerja yang menggunakan jentera sahaja,"jelasnya ketika menghadiri majlis jamuan kementeriannya di bangunan Parlimen.
Periksa tahap kesihatan
Katanya, selain memberi lebih kuasa kepada Kementerian Sumber Manusia, pindaan itu juga memberi kuasa kepada Kementerian Kesihatan memeriksa tahap keselamatan penggunaan jentera tertentu.
"Beberapa pindaan baru akan memberi kuasa kepada kedua-dua kementerian ini membatalkan lesen jentera yang tidak mematuhi peraturan.
"Kita berharap, hukuman dan denda yang tinggi itu akan menyedarkan majikan untuk memberi perhatian serius kepada peraturan penggunaan jentera dan keselamatan pekerja mereka," tambahnya.
Sementara itu, Pemangku Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC), Datuk Raja Ahmad Zainuddin Omar berkata, pihaknya bersedia berkerjasama dengan mana-mana kementerian bagi menyelesaikan masalah dalamannya.
"Kami boleh mengenengahkan masalah-masalah yang melanda kementerian. Mungkin dengan cara ini lebih banyak isu sesebuah kementerian boleh dibincangkan bagi faedah bersama," ujar ahli Parlimen Larut itu.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.