Terpulang kepada ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk menentukan peranan yang akan dimainkan oleh Datuk S Nallakarupan apabila beliau menyertai parti tersebut, kata Presidennya, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail.

"Kami mengalu-alukan penyertaan Nalla tetapi apakah peranannya, akan ditentukan oleh ahli-ahli. Ya, beliau boleh menjadi seorang pemimpin, tetapi bukan kerana dia seorang India, maka dia akan mengetuai ahli-ahli daripada keturunan India (dalam PKR)," katanya kepada malaysiakini ketika dihubungi di Parlimen hari ini.

Wan Azizah menegaskan bahawa tidak wujud politik berasaskan kaum dalam PKR kerana ia adalah sebuah parti pelbagai kaum.

Ditanya sama ada Nallakarupan, yang merupakan rakan karib bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan diberikan jawatan tertentu dalam parti, Wan Azizah menjawab tidak.

"Tetapi jika ahli-ahli memilih beliau untuk memegang jawatan tertentu, maka ia perkara lainlah," tambahnya.

Baru-baru ini, sebuah akhbar harian berbahasa Tamil melaporkan bahawa Nallakarupan telah dijemput oleh Anwar untuk 'menyuntik tenaga baru' dalam parti tersebut.

Ekoran itu, lima pemimpin PKR Wilayah Persekutuan meminta penjelasan mengenainya bagi mengelak timbulnya salah tafsiran di kalangan ahli bahawa PKR adalah sebuah parti berasaskan kaum, sama seperti parti-parti komponen Barisan Nasional.

Nalla nyata minat

Wan Azizah mengesahkan bahawa Nallakarupan, yang juga bekas Timbalan Pemuda MIC, telah menyuarakan minatnya untuk menyertai PKR.

"Beliau telah menyuarakan niat dan hasratnya untuk menyertai kita. Beliau memang sudah lama bersama gerakan reformasi dan beliau juga telah menjadi mangsa dan terpaksa merengkok dalam penjara. Beliau dipaksa membuat pengakuan untuk mengelak hukuman mati. Kita mengalu-alukan beliau dengan tangan yang terbuka," tambahnya.

Sementara itu, Ketua Penerangan PKR, Tian Chua berkata, parti itu mengalu-alukan sesiapa sahaja yang datang dengan niat yang betul dan menerima sifat majmuk parti tersebut.

Beliau menegaskan demikian ketika diminta mengulas mengenai spekulasi Nallakarupan akan menyertai parti itu untuk 'memimpin" ahli kaum India dalam PKR.

"Jika niat beliau adalah untuk meningkatkan sokongan masyarakat India terhadap parti ini, maka kita mengalu-alukan kemasukan beliau. Tetapi orang ramai tidak harus mengandaikan yang ini bermakna membawa masuk 'kumpulan ahli-ahli India' ke dalam parti ini," kata Tian.

Menurutnya lagi, PKR sentiasa menerima individu yang meninggalkan Umno, MCA dan MIC selagi mereka menolak politik berasaskan kaum dan menyokong politik majmuk di Malaysia.

Ketika dihubungi, Ketua Bahagian PKR Klang, P Krishnasamy berkata beliau dan beberapa orang lagi pemimpin parti itu telah berusaha memujuk Nallakarupan sejak setahun lalu supaya menyertai parti tersebut.

Beliau akan menganjur satu majlis bersama pemimpin parti itu Ahad ini di Bangsar, Kuala Lumpur sebagai tanda sokongan mereka terhadap kemasukan Nallakarupan dalam PKR.

Katanya, Nallakarupan merupakan seorang yang berpengaruh dan akan menjadikan satu aset penting kepada parti.

Orang penting

Nallakurapan merupakan orang penting dalam dakwaan konspirasi untuk mengaib dan menjatuhkan Anwar. Beliau ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada Julai 1998 kerana memilik peluru secara haram, dua bulan sebelum Anwar dipecat dari jawatan timbalan perdana menteri.

Sewaktu perbicaraan Anwar atas tuduhan menyalahgunakan kuasa, peguambelanya Zainur Zakaria telah menfailkan afidavit di mahkamah dengan mendakwa, pihak pendakwaraya telah memaksa Nallakarupan memberi keterangan terhadap Anwar.

Menurut kenyataan berkanun yang dikemukakan oleh peguam Nallakarupan Manjeet Singh Dillon pihak pendakwaraya didakwa telah menawar untuk mengurangkan tuduhan terhadap Nallakarupan sekiranya ahli perniagaan itu bersetuju memberi keterangan palsu terhadap Anwar.

Tuduhan terhadap Nallakarupan kemudiannya dipinda dan dikurang kepada tuduhan di bawah Akta Senjatapi, yang membawa hukuman maksimum tujuh tahun penjara. Tuduhan sebelumnya membawa hukuman mati.

Beliau mengaku bersalah dan dijatuhkan hukuman tiga setengah tahun penjara dan dibebaskan selepas beliau menang dalam rayuannya pada Ogos 1999. Terjemahan