Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PRK Slim: Pemuda MIC yakin pengundi India akan bersama PN

PRK SLIM | Pemuda MIC yakin bahawa pengundi India akan bersama Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Slim, Perak.

Ini selepas Ketua Pemuda MIC R Thinalan berkata masyarakat India berasa selesa dengan keputusan-keputusan yang diambil oleh kerajaan PN dalam menangani krisis Covid-19 iaitu semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Saya nampak respons kaum India terhadap kerajaan PN sangat positif dalam pasca Covid-19 ini.

"Mereka memuji kerajaan PN dan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang jelas memberi yang terbaik kepada rakyat sehingga Malaysia dinobatkan sebagai antara negara yang terbaik dalam mengendalikan penularan wabak Covid-19," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Pemuda MIC dengan Universiti antarabangsa Unitar di Kelana Jaya hari ini.

13 peratus pengundi India

Kerusi DUN Slim kosong berikutan penyandangnya yang juga Anggota Majlis Tertinggi Umno, Mohd Khusairi Abdul Talib meninggal dunia pada 15 Julai lalu membuka laluan kepada pilihan raya kecil buat kali ke-12 sejak pilihan raya umum 14 (PRU14) lalu.

Terdapat lebih 23,300 pengundi berdaftar untuk kawasan Slim.

"Daripada 23,000 pengundi, lebih 3,000 atau 13 peratus adalah pengundi India. Dan saya nampak pengundi India ini sangat penting untuk PN mengekalkan majoriti besar seperti sebelum ini.

Ketika ditanya apakah ramalan khususnya pengundi India di PRK Slim nanti, Thinalan membalas bahawa beliau sasar bahawa lebih 60 peratus hingga 70 peratus pengundi India akan keluar mengundi.

"Ada satu kumpulan besar daripada pengundi ini kerja di ibu Kota dan tempat lain seperti Singapura. Jadi, saya sasar 60 peratus hingga 70 peratus akan keluar mengundi.

"Daripadanya lebih kurang 65 peratus akan mengundi kepada calon PN," katanya.

Pada PRU14 lalu Khusairi memenang kerusi Slim dengan mengalahkan calon PH dari Bersatu, Mohd Amran Ibrahim; serta Muhammad Zulfadli Zainal dari PAS.

Allahyarham memperoleh 8,327 undi dan mengatasi lawan terdekat dengan 2,183 undi.

Sementara itu, Pemuda MIC mengucapkan terima kasih kepada pihak Unitar selepas memberi biasiswa sebanyak RM1 juta kepada pelajar India daripada golongan B40.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada Unitar kerana memberi biasiswa RM1 juta. Kami harap pelajar India dari golongan B40 supaya tampil ke depan membuat permohonan untuk biasiswa ini.

"Mereka yang berminat boleh menghubungi Pejabat Pemuda MIC untuk maklumat lanjut," katanya. 

Lihat Komen
ADS