Rakyat Palestin kecewa dengan sikap negara-negara Islam yang mendiamkan diri melihat keganasan regim Yahudi terhadap mereka.

Naib Pengerusi Majlis Badan Kebajikan Islam Palestin, Abdullah Abdul Atwat berkata, negara Islam terlalu takut pada ancaman Amerika Syarikat hingga sanggup membiarkan saudara sesama Islam menderita.

"Banyak negara dan pemimpin teragak-agak untuk menyatakan sokongan kepada Palestin walaupun mereka tahu tentera Yahudi menyerang dan membunuh rakyat Palestin," katanya dalam majlis minum petang anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Aman Palestin di ibu negara hari ini.

Aman Palestin dianggotai beberapa pertubuhan Islam seperti Jamaah Islah Malaysia (JIM), Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Aman Malaysia dan Global Peace Malaysia bagi membantu penderitaan rakyat Palestin yang sedang ditindas Israel.

Abdullah berada di Malaysia bagi mendapatkan sokongan masyarakat Islam negara ini menghadapi pencerobohan Israel dan tekanan regim itu terhadap kerajaan Hamas.

Beliau bagaimanapun mengucapkan penghargaan kepada rakyat Malaysia kerana berani menongkah arus untuk terus membantu rakyat Palestin.

Bantuan kemanusian

"Perkembangan di sini amat menggalakkan, begitu banyak bantuan kemanusiaan yang dihulurkan kepada kami," ujarnya.

Abdullah menjelaskan, Majlis Badan Kebajikan Islam Palestin mempunyai tujuh ahli gabungan di Palestin dan 13 di Lebanon yang bergerak mengumpul dana dan bantuan untuk meringankan beban rakyat Palestin.

Mengenai perkembangan terkini di Palestin, Abdullah berkata, tentera Israel semakin mengganas dengan melepaskan bedilan ke arah penempatan penduduk Palestin setiap hari.

"Hospital sudah kehabitan ubat-ubatan, bekalan elektrik dan air terputus dan banyak khemah penempatan, rumah, sekolah serta bangunan runtuh," tegas beliau.

Sementara itu, ketika melancarkan majlis tersebut, wakil Aman Palestin, Shamsul Maarif Ismail berkata, pihaknya mengambil inisiatif ini kerana simpati dengan nasib rakyat Palestin yang semakin teruk kebelakangan ini.