Arahan beli MAS: Saya tidak ingat, kata Najib
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata beliau tidak tahu menahu mengenai dakwaan Tan Sri Tajudin Ramli yang dia telah 'diarah' membeli saham syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) dalam satu urusniaga rahsia dengan pihak kerajaan pada 1994 untuk membantu menyelamatkan Bank Negara yang mengalami kerugian teruk dalam perdagangan matawang asing.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata beliau tidak tahu menahu mengenai dakwaan Tan Sri Tajudin Ramli yang dia telah 'diarah' membeli saham syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) dalam satu urusniaga rahsia dengan pihak kerajaan pada 1994 untuk membantu menyelamatkan Bank Negara yang mengalami kerugian teruk dalam perdagangan matawang asing.
"Tidak, saya tidak tahu mengenainya, jadi saya tidak boleh komen apa yang dia kata," kata Najib dalam satu sidang akhbar selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persafahaman antara Media Prima Berhad dengan Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) di bangunan Parlimen bagi menerbitkan program televisyen "Smart Entrepreneur".
Tajudin, dalam satu afidavit yang difailkanya Khamis lalu, mendakwa beliau membeli 32 peratus pegangan dalam MAS bernilai RM1.8 bilion pada 1994 melalui Naluri Bhd atas arahan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Kewangan ketika itu, Tun Daim Zainuddin.
Ahli perniagaan itu mendakwa, beliau telah membeli saham MAS pada harga RM8 sesaham lebih mahal daripada harga pasaran RM3.50 sebagai "khidmatnya kepada negara' untuk membantu menyelamatkan Bank Negara yang mengalami kerugian teruk akibat perdagangan matawang asing.
"Saya tidak tahu apa yang berlaku seperti apa yang didakwa dalam dokumen ini [...] saya tidak ingat (sama ada) ianya telah dibincang tetapi bagaimanapun, saya tidak mahu komen mengenai sesuatu yang saya tidak pasti," kata Najib kepada pemberita.
Katanya, beliau hanya mengetahui mengenai pembelian balik saham MAS pada tahun 2000 oleh kerajaan dari Naluri pada harga RM8 sesaham (melebihi harga pasaran di sekitar RM3) kerana"... kabinet telah dimaklumkan mengenainya". Pembelian balik saham tersebut telah dikritik hebat oleh pelbagai pihak.
Najib kelihatan keberatan untuk menjelaskan lebih lanjut mengenainya. Apabila ditanya sama ada dakwaan arahan dari Dr Mahathir dan Daim itu dianggap sebagai menyalahguna kuasa dan akan diambil tindakan, Najib berkata" Cukuplah, cukuplah...."
Beliau kelihatan tidak senang apabila pihak media masih terus meminta komennya mengenai perkara itu.
"Saya tidak mahu bercakap mengenainya lagi, saya telah beritahu apa juga yang perlu diberitahu. Awak faham bahasa Inggeris tak?" tegasnya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sedang bercuti selama dua minggu di Perth Australia dan dijangka hanya pulang minggu depan.
'Konspirasi' Danaharta
Pendedahan Tajudin itu terkandung dalam saman balasnya RM13 juta terhadap Pengurusan Danaharta Nasional Berhad (Danaharta), pihak kerajaan dan beberapa syarikat dan individu.
Saman balas itu difailkan pada 29 Jun lalu. Sebelum itu Tajudin telah disaman oleh Danaharta sebanyak RM589 juta.
Ketika krisis kewangan Asia pada 1998, Tajudin tidak dapat membayar pinjamannya dan kemudiannya diambilalih oleh Danaharta. Ini termasuk jaminannya seperti Naluri Bhd dan Technology Resources Industries Bhd (TRI) yang disandar oleh Tajudin kepada bank.
Selepas kerajaan membeli balik saham MAS dari Naluri, syarikat berkenaan dan Danaharta cuba mencari penyelesaian tetapi gagal. Berikutan itu, Danaharta kemudiannya menjual saham Naluri dan TRI.
Dalam bulan Mei tahun ini, Danaharta menyaman Tajudin untuk mendapatkan RM589 juta lagi dan Tajudin pula memfailkan saman balas..
Tajudin mendakwa wujud konspirasi oleh Danaharta yang menyaksikan penjualan TRI kepada Telekom Malaysia pada harga yang murah, dan membolehkan Telekom menggabungkan perniagaan telekomunikasi selularnya dengan anak syarikat TRI Celcom. Terjemahan


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.