Mustapa: Keadaan ekonomi antara punca siswazah menganggur
Kerajaan akan mengambil langkah untuk menangani masalah siswazah menganggur termasuk dalam bidang kejuruteraan, perniagaan dan perakaunan yang antara lain ada hubungkait dengan keadaan ekonomi dan peluang perniagaan.
Kerajaan akan mengambil langkah untuk menangani masalah siswazah menganggur termasuk dalam bidang kejuruteraan, perniagaan dan perakaunan yang antara lain ada hubungkait dengan keadaan ekonomi dan peluang perniagaan.
Di samping itu, kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed, masalah itu juga ada kaitan dengan kemahiran yang dimiliki siswazah itu sendiri.
Katanya, semua itu menjadi punca pengangguran di kalangan siswazah dan bukannya kerana keengganan sektor swasta mengambil mereka bekerja.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan akan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menangani masalah tersebut.
Menurut laporan Bernama, Mustapa berkata, kerajaan memandang serius masalah siswazah menganggur kerana bukan hanya melibatkan lulusan jurusan tertentu tetapi juga termasuk jurusan kejuruteraan, perniagaan dan perakaunan.
Kerjasama swasta-universiti
Menurutnya, beliau sedang mengumpulkan angka siswazah mengganggur daripada Kementerian Sumber Manusia, Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dan Jabatan Perangkaan Negara.
"Data ini kena diinterpretasikan dengan betul dan angka ini berubah dari hari ke hari," katanya mengulas kenyataan Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Abdul Rahman Bakar bahawa 70 peratus daripada 20,217 siswazah menganggur ialah dari Institusi Pengajian Tinggi Awam, 26 peratus dari Institusi Pengajian Tinggi Swasta dan bakinya lepasan universiti luar negara.
Terdahulu beliau menyampaikan amanat kepada kira-kira 3,000 mahasiswa baru Universiti Malaysia Sabah (UMS) sesi 2006/2007 semalam.
Di samping itu, katanya, kerjasama antara sektor swasta dengan pihak universiti perlu dimantapkan lagi bagi memastikan sebarang kursus baru yang ditawarkan, menepati kehendak pasaran tenaga kerja.
Sementara itu, Mustapa berkata kerajaan tidak dapat meluluskan permohonan enam buah universiti, termasuk UMS, bagi mendapatkan hospital universiti mereka sendiri kerana kekangan kewangan.
"Kita telah menimbang perkara ini dan berikutan keadaan kewangan sekarang, kita memutuskan untuk tidak meneruskannya," katanya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.