Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP, Teng Chang Khim menganggap usaha menggagalkan usul pengisytiharan harta milikan yang cuba dikemukakannya di sidang dewan negeri semalam membuktikan kerajaan pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Mohd Khir Toyo tidak menghormati prinsip demokrasi.

Adun bagi Bandar Klang itu mendakwa wakil rakyat Barisan Nasional, termasuk menteri besar sendiri, amat bimbang "kerana mereka akan terperangkap oleh usul itu".

Semalam, Teng cuba mengemukakan usul di sidang Dewan Undangan Negeri Selangor supaya Adun, speaker dewan, Ahli Exco, ahli Parlimen, ahli Majlis Bandaraya dan Perbandaran serta ahli Majlis Daerah diwajibkan mengisytiharkan secara umum harta milik mereka setiap tahun.

Bagaimanapun, cubaan membawa usul itu gagal apabila Datuk K. Sivalingam (BN-Ijok) bangun memaklumkan kepada Timbalan Speaker, Datuk Salamon Selamat bahawa usul itu tidak boleh diterima kerana tidak cukup korum.

Teng mendakwa cubaannya disabotaj kerana sebaik saja beliau bangun untuk mengemukakan usul itu, sebahagian daripada 46 Adun, keluar dari dewan.

"Walaupun selepas loceng dibunyikan mereka (wakil rakyat) masih terus berada di luar (dewan) untuk minum dan berborak-borak," katanya.

Mengikut Peraturan Tetap 12, Peraturan-peraturan Tetap Dewan Undangan Negeri, jumlah korum yang diperlukan ialah satu pertiga ahli dewan. Bagaimanapun, semasa Teng mengemukakan usulnya, hanya terdapat lima wakil rakyat di dalam dewan.

"Jika mereka (wakil rakyat daripada Barisan Nasional) tidak menyokong usul saya, mereka akan menghadapi masalah menerangkan alasan mereka kepada rakyat," katanya.

Oleh itu, Teng mendakwa bahawa mereka, dengan kebenaran Mohd Khir, telah sengaja menggunakan taktik itu bagi mengagalkan usahanya.

Laporan BPR

Sebelum ini, pada hari Isnin, aktivis media, Ahmad Lutfi Othman telah mengemukakan satu laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang mengandungi empat tuduhan terhadap Mohd Khir yang didakwanya telah menyalahgunakan kuasanya sebagai menteri besar.

Dalam laporan itu, Lutfi mendakwa Mohd Khir telah menyerahkan pengendalian projek pembinaan jalanraya sepanjang 20.5km bernilai RM92.5 juta di Sekinchan kepada sebuah "syarikat bermasalah" dan meluluskan permohonan tanah di Shah Alam kepada empat syarikat yang mempunyai pengarah yang sama.

Perkara itu kemudian dibangkitkan oleh beberapa wakil rakyat pembangkang dalam sidang dewan negeri. Mohd Khir kemudiannya menjawab tuduhan itu di dalam dewan pada Rabu lalu.

Bagaimanapun, wakil rakyat pembangkang masih mempersoalkan beberapa perkara, antaranya soal pembayaran sekali gus rumah Mohd Khir berjumlah RM150,000 yang menurut beliau (menteri besar) dibayar menggunakan modal dan pelaburan semasa beliau membuka klinik selama 11 tahun.

Taktik kotor

Menurut Teng, Mohd Khir selaku menteri besar perlu memohon maaf kepada rakyat kerana menggunakan taktik kotor bagi menggagalkan usaha membentuk satu pentadbiran yang bersih daripada amalan rasuah dan penyelewengan.

Teng bagaimanapun tetap akan mengemukakan usul itu pada sesi sidang dewan undangan negeri akan datang, yang dijadualkan Mac depan.

Dalam perkembangan lain, Pemuda Keadilan Selangor hari ini membuat aduan polis mengenai dakwaan salah laku rasuah terhadap Mohd Khir di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Negeri Selangor.

"Kami mengesa pihak polis aga rmenyiasat segera dakwaan ini memandangkan ia sangat serius serta sangat mencemarkan nama pentadbiran kerajaan negeri Selangor," laporan di petik.