19 termasuk 4 remaja perempuan sertai parti liar ditahan polis
Polis menahan 19 individu, termasuk empat remaja perempuan, yang dipercayai menganjurkan parti liar di sebuah pangsapuri di pusat peranginan di Bentong, kira-kira 177km dari Kuantan, Ahad lepas.
Ketua Polis Pahang Abd Jalil Hassan berkata kesemua mereka yang berumur antara 18 dan 25 tahun dipercayai menyewa pangsapuri itu bagi tujuan berparti.
Katanya ujian saringan air kencing mendapati 15 daripada mereka positif dadah.
Bercakap kepada pemberita selepas majlis pemakaian pangkat, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Penghargaan Tolak Rasuah, Pengurusan Perumahan Terbaik PDRM, dan Anugerah Integriti PDRM di Briged Tenggara Pusat Gerakan Am Kem Bukit Galing di Kuantan hari ini Abd Jalil berkata, seorang daripada suspek adalah pelajar sebuah pusat kemahiran di Pahang, manakala selebihnya menganggur.
Sementara itu di George Town, polis mengesan beberapa pusat hiburan di negeri itu cuba beroperasi secara 'curi-curi' ketika pelaksanaan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP).
Ketua Polis Pulau Pinang Sahabudin Abd Manan berkata pihaknya telah mengambil tindakan dan mengenakan kompaun ke atas pusat hiburan itu kerana melanggar PKPP dengan cuba beroperasi sebelum mendapat kebenaran.
"Pemantauan berterusan akan dijalankan bagi memastikan semua pihak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan dan Ikrar Bulanan Polis Kontinjen Pulau Pinang hari ini.
Sahabudin berkata ketika ini 140 pasukan polis negeri masih menjalankan pemantauan berterusan bagi memastikan orang ramai mematuhi SOP ditetapkan, malah Ops Covid-19 juga berjalan seperti biasa.
- Bernama

