Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘K’jaan belum putus tangguh sesi sekolah walaupun kes meningkat’
Diterbitkan:  Jul 21, 2020 6:48 PM
Dikemaskini: 10:48 AM

Kerajaan tidak bercadang menangguhkan sesi persekolahan seperti diputuskan sebelum ini walaupun terdapat peningkatan semula kes positif Covid-19 di peringkat global, termasuk di dalam negara.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sesi persekolahan tetap akan diteruskan seperti diputuskan sebelum ini.

"…masih dengan keputusan lama, seperti yang dirancang, bagaimanapun jika terdapat kes di sekolah atau di mana-mana sektor pun kita akan ambil keputusan selepas itu," katanya ketika sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di bangunan Parlimen hari ini.

Sesi persekolahan dibuka semula secara berperingkat 15 Julai lepas bagi tingkatan 1 hingga 4 bagi sekolah menengah dan tahun 5 dan 6 bagi sekolah rendah, manakala bagi murid tahun 1 hingga 4, mereka akan mula bersekolah esok dengan Standard Operasi Prosedur (SOP) ketat yang ditetapkan.

Bagaimanapun pembukaan itu mencetus kebimbangan sebilangan ibu-bapa memandangkan kanak-kanak merupakan golongan berisiko yang mudah dijangkiti pandemik Covid-19.

Mengulas mengenai kluster baharu dikesan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di sebuah pusat jagaan warga emas di Kluang, Johor yang melibatkan 14 kes positif, Ismail Sabri berkata, pusat itu kini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara pentadbiran selama 14 hari.

Katanya, buat masa ini orang awam dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mahu memberikan sumbangan tidak dibenarkan masuk ke pusat berkenaan.

Semalam Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes pertama kluster ini merupakan kes kematian Covid-19 yang telah dilaporkan pada 19 Julai 2020 (iaitu kes ke-8,770), dimana ujian saringan Covid-19 didapati positif.

Sementara itu, bagi mengehadkan pengunjung di pusat beli-belah, Ismail Sabri berkata pemilik premis digalakkan menyekat pengunjung masuk jika didapati pengunjung terlalu padat dan tiada jarakan sosial.

"Mereka digalakkan membuat sistem penggiliran untuk kawal dari segi kemasukkan beramai-ramai dalam premis mereka," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS