Satu lagi klip video yang menunjukkan pergaduhan pelajar sekolah diedarkan melalui internet. Ia menunjukkan dua pelajar lelaki menyerang seorang pelajar lelaki lain yang memakai uniform sekolah.

Berdasarkan kepada klip video tersebut, kejadian berkenaan berlaku dalam kawasan sekolah.

Dua pelajar lelaki berkenaan memakai seluar sekolah tetapi tidak berbaju. Mangsa diserang bertubi-tubi dan terguling di tanah sambil cuba melindungi dirinya.

Selepas diserang, mangsa bangun dan membetulkan pakaian. Dia kemudian berjalan menuju ke arah penyerangnya sambil berkata sesuatu, mungkin untuk menyelesaikan perselishan antara mereka..

Penyerang itu secara tiba-tiba sekali lagi membelasahnya dan menendangnya bertubi-tubi sambil diperhatikan oleh pelajar-pelajar yang lain, termasuk pelajar perempuan.

Seorang pelajar kelihatan sedang merakamkan kejadian tersebut dengan kamera telefonnya. Tidak sebarang usaha untuk meleraikan pergaduhan tersebut.

Terdapat dua versi klip video mengenai kejadian tersebut. Versi pendeknya mempunyai rakaman audio, di mana pelajar lain yang memerhati kejadian tersebut, kedengaran bercakap dalam bahasa Mandarin.

Manakala versi yang lebih panjang - tanpa rakaman audio turut memaparkan kejadian mangsa diserang bagi kali kedua.

Setakat ini tidak dapat dipastikan lokasi sekolah tersebut. Bagaimanapun satu lamanweb mengagak kejadian tersebut berlaku di Johor.

Video ketiga dalam dua minggu

Ini adalah klip video ketiga yang memaparkan keganasan di kalangan pelajar yang memakai uniform sekolah yang diedarkan di Internet.

Pada 28 Jun, satu klip video yang menunjukkan sekumpulan pelajar perempuan di Miri yang sedang membelasah seorang rakan mereka, turut diedarkan di Internet. Berikutan kejadian tersebut, pelajar terbabit telah digantung persekolah dan sedang disiasat oleh Kementerian Pelajaran.

Minggu lalu, tujuh orang pelajar di Johor dibuang sekolah selepas tersiarnya klip video yang menunjukkan mereka membelasah seorang pelajar lain, termasuk menggunakan kerusi.

Enam pelajar yang terbabit dalam kejadian tersebut juga telah disoalsiasat oleh pihak polis. Terjemahan

Klik untuk menyaksikan video klip