Najib: Tidak perlu suruhanjaya diraja siasat dakwaan Tajudin
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menolak gesaan supaya ditubuhkan suruhanjaya diraja untuk menyiasat dakwaan mengejutkan Tan Sri Tajudin Ramli bahawa dia dipaksa membeli Penerbangan Malaysia (MAS) bagi membantu menyelamatkan Bank Negara.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menolak gesaan supaya ditubuhkan suruhanjaya diraja untuk menyiasat dakwaan mengejutkan Tan Sri Tajudin Ramli bahawa dia dipaksa membeli Penerbangan Malaysia (MAS) bagi membantu menyelamatkan Bank Negara.
Minggu lalu, bekas Pengerusi MAS itu, telah memfailkan saman yang mendakwa bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah memaksanya "berkhidmat untuk negara" dengan membeli MAS daripada Bank Negara pada 1994.
Berita mengenai dakwaan tersebut yang timbul Khamis lalu, telah mengejutkan masyarakat Malaysia dan mendorong Ketua Pembangkang Lim Kit Siang menggesa supaya diwujudkan suruhanjaya diraja bagi menyiasatnya.
Bagaimanapun, Najib yang turut berkhidmat dalam pentadbiran Dr Mahathir berkata, beliau tidak tahu menahu mengenai urusniaga tersebut, dan menolak saranan Lim itu.
"Ia merupakan kes mahkamah dan saya fikir tidak perlu ditubuhkan suruhanjaya diraja," kata Najib kepada pemberita, sambil menambah, beliau tidak boleh mengulas mengenainya kerana bimbang subjudis terhadap perbicaraan kes itu nanti, yang difailkan di MahkamahTinggi Kuala Lumpur.
"Saya tidak mahu mengulas banyak sangat. Tidak, tidak, tidak cukup, nanti subjudis. Ia adalah satu kes mahkamah. Malah, saya tidak sepatutnya cakap apa yang telah saya cakap semalam (Khamis)," tambahnya.
Tajudin telah membeli pegangan 29 peratus dalam MAS pada 1994 daripada Bank Negara, dengan membayar RM8 sesaham sedangkan harga pasarannya ketika itu adalah separuh daripadanya.
Hutang lapuk pada 1997
Dalam kenyataan tuntutannya, Tajudin mendakwa, Dr Mahathir mengarahkannya supaya membeli MAS selepas Bank Negara mengalami kerugian besar akibat perdagangan matawang, antaranya kerana spekulasi pasaran matawang asing, demikian menurut akhbar The Sun.
Tajudin terpaksa mengambil pinjaman berjumlah RM1.8 bilion, untuk menggunakan
syarikat-syarikatnya yang lain sebagai cagaran.
Ia menjadi hutang lapuk sewaktu krisis kewangan Asia pada 1997 dan diambilalih oleh Danaharta, bersama-sama syarikat Tajudin yang lain, termasuk syarikat telekomunikasi Celcom, yang kemudiannya dibeli oleh Telekom Malaysia.
Pihak kerajaan membeli balik MAS pada 2000 dan tindakan itu dianggap sebagai langkah menyelamatkan Tajudin, dengan membayar RM8 sesaham, walaupun ianya dua kali ganda harga pasaran ketika itu.
Para penganalisa dan ahli politik pembangkang berkata, dakwaan tersebut telah mendedahkan hubungan yang tidak telus antara kerajaan dengan ahli perniagaan bumiputera. Terjemahan
- AFP


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.