MP: Cari dalang penipuan, pemerdagangan warga asing
PARLIMEN | Noor Amin Ahmad (PKR-Kangar) menggesa satu cara yang lebih berperikemanusiaan dan telus dalam menangani isu warga asing tanpa dokumen, memandangkan ada di kalangan mereka yang merupakan mangsa penipuan dan pemerdagangan manusia.
Sewaktu membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini, Amin membangkitkan keperluan melindungi pelarian dan warga asing di tengah-tengah sentimen anti-imigran di negara ini.
“Kecaman meluas dibiarkan, dilemparkan kepada kumpulan ini kerana kebetulan mereka ni bekerja di tapak pembinaan, jadi penularan (Covid-19) banyak berlaku di kawasan mereka,” katanya.

Beliau mencadangkan agar kerajaan melaksanakan satu peraturan baru yang "lebih telus dan adil" melibatkan kerjasama kedutaan negara pekerja-pekerja yang masuk ke Malaysia.
“Meskipun saya setuju dengan kerajaan untuk mengekang pendatang asing tanpa izin (Pati), tangkapan baru-baru ini juga melibatkan banyak pegawai kerajaan.
"Saya fikir kerajaan perlu menyantuni isu ini dengan penuh hemah dan juga kemanusiaan. Kita mahu mencari dalang (dan) kita mahu menyelesaikan isu PATI ini.
"Tetapi jangan lupa bahawa mereka juga mangsa kezaliman sistem yang selama ini mungkin kita biarkan atau kita tak ambil secara serius. Jadi sudahlah mereka kena tipu dengan orang yang memperdagangkan mereka atau (oleh) ejen mereka, hari ini mereka terbiar di negara asing dan kita nak tangkap dan hukum mereka pula," katanya lagi.
Amin tidak mengulas lanjut berhubung tangkapan yang melibatkan pegawai kerajaan.
Bagaimanapun awal bulan ini, polis Johor menahan beberapa pegawai Jabatan Imigresen kerana disyaki terlibat dalam sindiket penyeludupan warga asing. Dua pegawai kanan, termasuk penolong pengarah negeri, telah pun didakwa.
Sebelum itu, tangkapan yang dibuat dilaporkan turut melibatkan pegawai penguatkuasa lain, termasuk anggota polis dan tentera.
Mengulas lanjut Amin berharap sentimen buruk terhadap pekerja asing tidak menjadi satu kebiasaan.
“Jangan kerana mereka ini membuat kerja-kerja yang sukar, kerja-kerja yang bahaya, kerja-kerja yang susah, kita membiasakan layanan buruk kepada mereka.
“Anggaplah mereka sebagai tetamu. Mereka juga antara penggerak ekonomi negara walaupun gaji mereka tak banyak," katanya lagi.
Isu pelarian dan warga asing antara lain berhubung laporan berkenaan bot yang membawa ratusan etnik Rohingya yang memasuki perairan Malaysia dan cuba berlabuh di pantai negara.
Selain itu, tangkapan warga asing tanpa dokumen yang dibuat ketika serbuan melibatkan beberapa agensi semasa antaranya di sekitar kawasan Masjid India, Kuala Lumpur yang dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD), sekali lagi mengundang perhatian terhadap isu tersebut.
Susulan penangkapan, berlaku penularan Covid-19 di lima tahanan Imigresen, iaitu di Bukit Jalil dan Sepang.

