Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Audio mirip Muhyiddin: SPRM tunggu arahan peguam negara
Diterbitkan:  Jul 23, 2020 1:45 PM
Dikemaskini: 5:45 AM

SPRM telah menyerahkan laporan awal berhubung dakwaan rakaman audio mirip suara Muhyiddin Yassin yang mengatakan ahli parlimen Umno boleh dipikat untuk menyertai Bersatu jika ditawarkan jawatan menteri atau jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Bercakap kepada pemberita hari ini, pesuruhjayanya, Azam Baki berkata perkara itu telah dirujuk ke Jabatan Peguam Negara dan sedang menunggu arahan selanjutnya.

Ketika ditanya apakah Muhyiddin akan dipanggil untuk disoal siasat, Azam enggan mengulas lanjut.

"Itu bergantung pada arahan dari peguam negara. Kami telah menjalankan siasatan.

"Untuk penyiasatan ini, perkara pertama yang harus kita perhatikan adalah keaslian (rakaman).

"Kedua, apa yang (didakwa) dikatakan sebagai suatu kesalahan atau tidak," katanya.

Pada 30 Mei, halaman Facebook yang menyokong Dr Mahathir Mohamad memuat naik satu rakaman mirip suara Muhyiddin.

Dalam rakaman audio yang tersebar di media sosial itu lepas, Muhyiddin didakwa merancang untuk menawarkan kepada pemimpin Umno jawatan dalam kabinet dan GLC.

Rakaman itu didakwa dibuat dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu pada 23 Februari, sehari sebelum Dr Mahathir meletak jawatan sebagai perdana menteri dan pengerusi Bersatu.

Dalam rakaman itu, seorang lelaki yang suaranya menyerupai perdana menteri didengar berkata:

"Kalau dia (ahli parlimen Umno) tahu kerajaan baru nak terbentuk, Umno masuk, why don't you come in now, why don't you join us now rather than you join later? (Kenapa tak sertai kami sekarang, daripada sertai kemudian?)”

Mesyuarat Bersatu berlangsung sebelum Langkah Sheraton yang menyebabkan keluarnya Bersatu daripada PH yang menjadi kerajaan ketika itu serta mendorong kejatuhan kerajaan pimpinan Mahathir.

Bagaimanapun, Muhyiddin sehingga kini belum membuat sebarang penafian berhubung pendedahan rakam audio itu.

Kelmarin, anggota Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh cuba memainkan rakaman audio itu di parlimen, namun dihentikan oleh Timbalan Speaker, Azalina Othman Said.

Ramkarpal berkata Karpal pernah memainkan rakaman audio bekas ketua hakim negara, Zaki Azmi di Dewan Rakyat pada 2007.

Bagaimanapun menteri undang-undang Takiyuddin Hassan berkata semakan terhadap rekod parlimen mendapati bahawa tiada bukti menunjukkan perkara itu berlaku.

[Baca laporan asal]

Lihat Komen
ADS