PARLIMEN | Seorang wakil rakyat Sarawak hari ini membangkitkan kesulitan yang dihadapi mereka yang tidak mempunyai surat beranak khususnya, di kawasan pesalaman.

Tiong King Sing (GPS-Bintulu) berkata isu itu dihadapi ramai orang terutama masyarakat Iban di pedalaman Sarawak, dan satu dasar mesti dirangka untuk menyelesaikannya.

"Mengenai surat beranak, saya sudah banyak kali umum, hidup pun susah, mati pun susah.

"Kerana dia mati pun tak boleh 'lalu', bawah (dalam kubur) pun ada hakim juga dan dia tak ada surat beranak, semua sijil tak ada.

"Kita mesti ada cara, tolonglah bincang dengan kerajaan negeri Sarawak," katanya di Dewan Rakyat.

Tiong berkata kerajaan perlu menyeragamkan proses pemberian kewarganegaraan melalui Artikel 15A Perlembagaan Persekutuan.

Tiong King SingMP 

Dia mendakwa ada permohonan yang memenuhi semua syarat tidak mendapat respons daripada Kementerian Dalam Negeri, termasuk 90 peratus permohonan yang mendapat sokongannya.

"Saya harap menteri tidak akan memberikan jawapan 'syok sendiri' yang merupakan kong kali kong (jawapan kosong)," katanya lagi.

Menjawab persoalan itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri Ismail Mohamed Said berkata beliau akan turun pandang bersama Tiong untuk menangani masalah itu di pedalaman Bintulu.

Ismail turut memaklumkan sejak Januari 2020 kerajaan telah mengambil langkah-langkah proaktif bagi memastikan proses kewarganegaraan dengan lebih cepat.

Beliau juga menasihati semua rakyat Malaysia untuk memastikan perkahwinan mereka didaftarkan secara sah bagi memudahkan urusan mendaftarkan kelahiran anak-anak mereka.