Lebih 1,000 umat Islam berhimpun di perkarangan Kedutaan Amerika Syarikat di Jalan Tun Razak di ibu negara hari ini kerana membantah keganasan terbaru Israel ke atas rakyat Palestin.

Sebelum itu, mereka berarak dari Bangunan Tabung Haji menuju ke Kedutaan Britain di Jalan Ampang kemudian menghala ke kedutaan Amerika Syarikat.

Demontrasi anjuran Dewan Pemuda PAS Pusat itu diketuai oleh Ketuanya, Salahuddin Ayub dan pemimpin kanan lain yang turut serta ialah Naib Presiden, Datuk Hassan Ali, Mohd Sabu dan Bendahari PAS Pusat, Dr Hatta Ali.

Mereka membawa pelbagai sepanduk seperti 'Kami menyokong Palestin' dan gambar pemimpin Palestin. Poster yang memamparkan pemimpin al-Qaeda, Osama Bin Laden juga kelihatan.

Bagaimanapun, kawalan keselamatan dari pasukan polis dan Polis Simpanan Persekutuan (FRU) yang lengkap dengan lori bermeriam air menjadikan demontrasi terkawal.

Serah memorandum

Peserta mengecam tindakan kejam tentera regim Yahudi ke atas rakyat Palestin dan mengutuk Britain dan Amerika Syarikat yang menyokong keganasan tersebut.

Hassan bersama tujuh pemimpin PAS lain menyerahkan memorandum bantahan kepada seorang pegawai Kedutaan Amerika Syarikat.

Dalam ucapan pendeknya, Dr Hatta berkata, pihaknya akan mengadakan perhimpunan yang lebih besar jika Israel terus mengganas di bumi Palestin.

Katanya, adalah menjadi kewajiban umat Islam di Malaysia dan di seluruh dunia untuk membantu dan menyokong rakyat Palestin yang sedang ditindas tentera Israel.

Perhimpunan hari ini juga menyebabkan kesesakan lalulintas di Jalan Tun Razak kerana peserta demontrasi memenuhi laluan itu untuk ke Kedutaan Amerika Syarikat.