Hari ketiga soal siasat Lim dengan SPRM
Bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini hadir buat kali ketiga di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya.
Ketibaannya pada pukul 10.42 pagi ditemani peguamnya yang juga Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer, bagi memberi keterangan berhubung projek terowong dasar laut yang dilaksanakan oleh kerajaan Pulau Pinang.
Kali pertama Lim hadir bagi membantu siasatan kes itu ialah pada Rabu lepas. Ketika itu beliau meninggalkan SPRM pada pukul 7.13 malam, kira-kira tujuh jam selepas dilihat memasuki ibu pejabat suruhanjaya tersebut.
Media sebelum ini melaporkan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow serta beberapan Exco dan bekas Exco kerajaan negeri turut diambil keterangan oleh SPRM berhubung siasatan projek bernilai kira-kira RM6.3 bilion itu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki sebelum ini dilaporkan berkata siasatan adalah berkaitan pengubahan wang haram.
Kes itu disiasat oleh SPRM sejak 2017.
Projek berkenaan dirancang semasa Lim menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang.
-Bernama

