Malaysiakini
BERITA

Ismail: Penyertaan semula Muhyiddin hanya dibincang jika ada permohonan

N Faizal Ghazali

Diterbitkan
Dikemaskini 26 Jul 2020, 6:26 pagi

Penyertaan semula Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ke dalam Umno hanya akan dibincangkan jika ada permohonan secara rasmi, kata Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob.

Ismail berkata, setakat ini pelawaan yang dibuat kepada presiden Bersatu itu lebih bersifat peribadi dan tidak mewakili parti.

"Jemputan itu daripada individu, individu dalam parti bebas bercakap tetapi tidak dibawa ke mesyuarat majlis tertinggi.

"Ada dua tiga orang pemimpin kita yang bercakap, kalau yang sudah keluar parti dan nak masuk balik kita akan bawa ke mesyuarat MT. Itu pun berdasarkan permohonan.

"Kalau tak ada permohonan maknanya hanya cakap-cakap sajalah," katanya ketika sidang media selepas melawat seorang veteran angkatan tentera Malaysia (ATM) di Wakaf Mek Zainab, Kota Bharu, hari ini.

Beliau diminta mengulas pandangan beberapa pemimpin Umno yang bersedia untuk menerima kembali Muhyiddin dalam parti itu dan diangkat sebagai calon perdana menteri Perikatan Nasional (PN) bagi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Perkara itu antaranya disuarakan oleh Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hassan, yang menegaskan keputusan pemecatan Muhyiddin dari Umno boleh diubah.

"Kalau ada hasrat (Muhyiddin) kembali kepada parti, kita boleh mengubah semula keputusan memecat beliau," katanya sambil menambah perkara itu akan menyelesaikan beberapa perkara, antaranya soal pembahagian kerusi.

Dalam pada itu, Anggota MT Umno Tajuddin Abdul Rahman berkata persoalan siapakah yang akan memimpin Umno, jika Muhyiddin benar-benar kembali kepada parti itu, akan diputuskan oleh anggotanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada penyertaan semula Muhyiddin akan menimbulkan konflik dalam kedudukan presiden yang kini dipegang Ahmad Zahid Hamidi.

"Soal ini ahli Umno yang tentukan, bukannya boleh ditentukan seorang dua...Kalau Muhyiddn yang akan dapat sokongan ahli, maka dia jadi presidenlah.

"Tahun depan akan ada pemilihan parti. Jadi sama ada presiden, timbalan presiden (hinggalah kepada) ketua bahagian kekal, semua bergantung kepada ahli dalam pemilihan," katanya kepada pemberita di Pulau Pinang hari ini.

Mengulas pelawaan Mohamad Hasan, Tajuddin turut mengalu-alukan bukan sahaja Muhyiddin tetapi semua pemimpin yang sebelum ini keluar daripada Umno.

"Mereka keluar Umno setelah kejadian-kejadian sebelum ini tetapi mereka tetap 'orang Umno'. Lebih baik kalau mereka boleh kembali dan meneruskan perjuangan Umno seperti dulu," katanya lagi.

Ketika menjadi timbalan presiden Umno dan timbalan perdana menteri pada 2016, Muhyiddin dipecat daripada parti dan kabinet kerana lantang bersuara dan mempersoalkan skandal 1MDB melibatkan Najib Razak yang pada ketika itu merupakan presiden parti dan perdana menteri.

Kedudukannya dalam parti dan kabinet kemudian digantikan oleh Ahmad Zahid.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.