Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saksi: Pinjam RM6.6 juta beri pada Yayasan Akalbudi untuk dapat 'projek'

Seorang saksi mengaku sanggup meminjam wang daripada rakan-rakannya untuk memberikan wang sumbangan berjumlah RM6.6 juta kepada Yayasan Akalbudi bagi mendapatkan 'projek'.

Menurut bekas pengarah Kiosk Solution Sdn Bhd dan MTM Network Sdn Bhd, Ng Hong Sing, 56 tahun dia telah diperkenalkan kepada individu bernama “Datuk Ruzi” oleh seorang kawannya, yang menurut Ng merupakan “orang kuat di Bagan Datuk”.

Katanya, antara sebab dia mahu berkenalan dengan Ruzi adalah kerana Ruzi juga merupakan “orang kuat” kepada Ahmad Zahid Hamidi.

Ng berkata pemberian sumbangan itu juga sebagai ‘perkenalan’ antara dirinya dengan bekas timbalan perdana menteri itu.

Pada sekitar Januari 2016, Ruzi menawarkan untuk memperkenalkannya kepada Ahmad Zahid, namun memaklumkan dia harus memberikan sumbangan kepada Yayasan Akalbudi “bagi tujuan mendapatkan kerja”, sebelum membawanya berjumpa Ahmad Zahid seminggu kemudian.

“Mula-mula, saya kata (sumbangan) RM1 juta, dia (Ruzi) cakap terlalu sedikit. (Dia tanya) paling banyak berapa kamu boleh (bagi), saya kira-kira saya boleh buat RM3 juta, tapi dengan bayaran asing-asinglah, bukan sekali,” katanya ketika disoal oleh timbalan pendakwa raya Harris Ong Mohd Jeffery Ong.

Dalam pertemuan dengan Ahmad Zahid di rumahnya, Ng berkata, Ahmad Zahid mengucapkan terima kasih kepadaya kerana sudi memberi sumbangan kepada Yayasan Akalbudi.

“Saya juga ada memberitahu kepada tertuduh jika dapat memberikan peluang pelaburan kepada saya kerana syarikat saya mempunyai pengalaman luas dalam bidang IT. Tertuduh juga ada memberitahu kepada saya bahawa urusan selebihnya, saya boleh berhubung dengan Datuk Ruzi.

“Pertemuan tersebut telah berlaku dalam lebih kurang lima hingga enam minit,” katanya lagi.

Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan pulang, kata Ng, Ruzi memberitahu kepadanya, “jika saya menyumbang lebih kepada Yayasan Akalbudi, saya akan mendapat projek yang lebih besar”.

Dia kemudiannya bersetuju menyumbang sebanyak RM6 juta kepada yayasan berkenaan.

“Dia (Ruzi) cakap tolonglah, sebab yayasan pun duit tak cukup. Saya fikir-fikir, saya boleh pinjam duit sama kawan-kawan. Lepas kira-kira, itu yang maksimumlah”.

Bagaimanapun, dia mengaku, meskipun setelah menyumbang sehingga RM6.6 juta, dia tidak mendapat apa-apa projek seperti diharapkan.

Harris: Sumbang untuk dapatkan projek?

Ng: Bukan. Untuk (jadi) kawan.

Harris: (Jadi) kawan untuk dapatkan projek?

Ng: Dalam fikiran saya, untuk dapatkan projek. Buat kawan untuk dapatkan projek.

Harris: Boleh bagitahu mahkamah, jumlah sumbangan yang telah diberikan kepada Lewis & Co?

Ng: Dalam rekod saya, RM6.6 juta.

Ng merupakan saksi ke-79 dalam perbicaraan rasuah, pengubahan wang haram dan pecah amanah melibatkan Ahmad Zahid yang masuk hari ke-27 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Katanya, sumbangan itu dibuat menerusi beberapa keping cek dan cek jurubank daripada dua syarikatnya itu yang kini katanya, sudah pun ditutup.

Bagaimanapun, dia mengaku, meskipun setelah menyumbang sehingga RM6.6 juta, dia tidak mendapat apa-apa projek atau pulangan seperti diharapkan.

Harris: Hingga hari ni, adakah anda terima apa-apa pulangan?

Ng: Tak ada.

Seorang lagi timbalan pendakwa raya Ahmad Sazilee Abdul Khairi meminta Ng menjelaskan kenapa dia sanggup memberi sumbangan setinggi itu sehingga sanggup meminjam daripada kawan-kawannya.

“Kamu kalau mahu cari kawan ini orang besar-besar, kamu kena tunjuk yang kewangan kamu okey, jadi mungkin (di) lain hari kamu boleh dapat projek, jadi dia yakin untuk (beri) projek,” jawabnya.

Bagaimanapun, ketika pemeriksaan balas oleh peguam bela Ahmad Zaidi Zainal, Ng bersetuju bahawa dalam pertemuannya dengan Ahmad Zahid, dia hanya dianggap sebagai pemberi sumbangan untuk membantu orang susah dan untuk kebajikan, tanpa dijanjikan apa-apa projek pun oleh Ahmad Zahid.

Ahmad Zaidi: Semua sumbangan RM6.6 juta itu bukanlah satu rasuah. Boleh setuju?

Ng: Ya

Ahmad Zaidi: Kamu bagi sumbangan tanpa dijanjikan apa-apa projek pun oleh Ahmad Zahid, setuju?

Ng: Setuju

Malah, Ng turut bersetuju bahawa soal sumbangan bagi mendapatkan projek dan kerja, hanya dibangkitkan oleh Ruzi dan bukannya Ahmad Zahid.

Ng turut bersetuju bahawa harapan untuk mendapatkan projek daripada sumbangan yang dibuat adalah merupakan pandangannya sendiri tanpa dijanjikan oleh sesiapa pun.

Ahmad Zahid berhadapan dengan 47 pertuduhan, 12 daripadanya membabitkan pecah amanah melibatkan dana Yayasan Akalbudi, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah itu bersambung tengah hari esok. 

Lihat Komen
ADS