Kjaan cadang naik denda hilang MyKad hingga 30 kali ganda
Kerajaan bercadang untuk menaikkan jumlah denda bagi kehilangan MyKad sehingga 30 kali ganda dan ia akan dikemukakan kepada mesyuarat Kabinet Rabu ini.
Kerajaan bercadang untuk menaikkan jumlah denda bagi kehilangan MyKad sehingga 30 kali ganda dan ia akan dikemukakan kepada mesyuarat Kabinet Rabu ini.
Menurut Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad , kementeriannya mencadangkan denda bagi kehilangan kali pertama dinaikkan dari RM10 ketika ini kepada RM100.
Katanya, ia mungkin dinaikkan kepada RM200 jika seseorang itu kehilangan MyKadnya bagi kali kedua dan seterusnya dikenakan RM300 bagi kehilangan kali ketiga.
"Kira-kira 1,000 MyKad dilaporkan hilang setiap hari. Dengan menaikkan denda, kami berharap dapat menjadikan masyarakat lebih bertanggungjawab terhadap MyKad mereka," beliau memberitahu pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada 186 anak yatim dari kawasan Parlimen Kangar.
Seseorang yang memohon untuk penggantian kali pertama kini perlu membayar hanya RM30 -- masing-masing RM10 untuk bayaran permohonan dan pemprosesan serta denda RM10 yang dinaikkan secara beransur-ansur sehingga kadar maksimum RM100 bagi penggantian kali keempat dan seterusnya.
Menurut laporan Bernama, Radzi berkata, kebanyakan rakyat Malaysia bersikap tidak menghargai MyKad memandangkan mereka mudah dan murah untuk mendapatkan penggantinya.
Bayaran tambahan
"Keadaan akan berubah. Kami akan meminta Kabinet menaikkan denda kerana banyak rakyat Malaysia yang tidak risau jika kehilangan MyKad mereka," katanya.
Beliau berkata kos sebenar menggantikan setiap kad ialah RM24 dan denda RM10 bermakna kerajaan harus menanggung kos tambahan RM14.
"Kenapa kerajaan harus membayar tambahan RM14?" katanya.
Ketika ditanya sama ada kerajaan akan menimbangkan pengurangan hukuman terhadap rakyat Malaysia yang didapati tidak membawa bersama MyKad, Radzi berkata buat masa ini tiada cadangan untuk berbuat demikian.
"Sebab kami meminta orang ramai membawa MyKad bersama mereka pada sepanjang masa ialah bagi membolehkan anggota penguatkuasa mengenal pasti pendatang tanpa izin ke negara ini. Jika mereka tidak membawa MyKad, mereka perlu ada sekurang-kurangnya dokumen pengenalan diri yang lain misalnya lesen memandu," katanya.
Hukuman maksimum kerana tidak mempunyai MyKad ialah denda RM20,000 atau penjara tiga tahun.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.