Semakin ramai rakyat Malaysia berminat mencari pekerjaan di luar negara kerana gaji yang ditawarkan jauh lebih tinggi.

"Minat rakyat Malaysia ini dapat dilihat daripada karnival mencari kerja yang diadakan oleh kementerian di mana ramai memohon mendapatkan pekerjaan di luar negara," katanya Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Abdul Rahman Bakar.

Kecenderungan itu, katanya, bukan sahaja di kalangan kaum lelaki, malah golongan wanita pun turut menunjukkan minat mereka untuk mendapatkan pekerjaan di luar negara.

Contohnya, kata beliau, di Karnival Mencari Kerja di Pulau Pinang bulan lalu, 213 daripada 5,000 orang yang hadir di karnival itu memohon untuk mendapatkan pekerjaan di luar negara.

Menurut laporan Bernama, Abdul Rahman berkata, mereka yang berminta bekerja di luar negeri itu terdiri daripada 114 lelaki dan bakinya wanita.

Ramai bujang

Dari segi kaum pula, tambah beliau, mereka terdiri daripada 170 orang Melayu, Cina (9) dan India (34).

Status pemohon pula ialah 202 bujang, sembilan berkahwin dan dua duda/janda.

Mereka yang memohon bekerja di luar neger itu terdiri daripada l09 lulusan ijazah, 58 diplome dan 46 berkemahiran.

Negara pilihan mereka ialah Singapura, Jepun, Brunei, Thailand, Indonesia, China, India, Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Sudan, Kanada, Australia, United Kingdom, New Zealand, Ireland, Amerika Syarikat dan Jerman.

Antara jawatan yang dipohon ialah penggubal undang-undang, pengurus, pegawai kanan, juruteknik, pekerja mahir dalam bidang perikanan serta pertanian, operator loji, guru dan jurujual.