Hilmi: Kerugian Bank Islam bukan kerana penyelewangan
Suntikan modal Dubai Investment Bank dari Emiriyah Arab Bersatu dan Tabung haji telah dapat membantu mengatasi masalah kewangan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) yang mengalami kerugian RM479.8 juta tahun lalu.
Suntikan modal Dubai Investment Bank dari Emiriyah Arab Bersatu dan Tabung haji telah dapat membantu mengatasi masalah kewangan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) yang mengalami kerugian RM479.8 juta tahun lalu.
Setiausaha Parlimen Kementerian Kewangan Datuk Seri Dr Hilmi Yahya berkata suntikan modal kedua-dua badan tersebut secara keseluruhannya mewakili 49 peratus modal Bank Islam.
Menjawab soalan asal Datuk Raja Ahmad Zainuddin Omar (BN-Larut), Dr Hilmi berkata bank itu turut mendapat suntikan modal dari pemegang saham yang sedia ada serta dari pelabur lain yang berminat memegang ekuitinya.
Selain mengatasi masalah kewangan BIMB, suntikan modal tersebut juga dijangka membolehkan bank berkenaan memperolehi keuntungan tahun ini, katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Ismail Abd Muttalib (BN-Maran) di Dewan rakyat Isnin.
Menurut laporan Bernama, Dr Hilmi berkata, Tabung Haji yang memegang 39 peratus modal dalam Bank Islam itu, juga wajar dibenarkan untuk mengadakan kaunternya di bank itu bagi memudahkan pelanggannya berurusan.
Tiada penyelewengan
Mengenai kerugian yang dialami BIMB tahun lalu, Dr Hilmi bekata ia disebabkan oleh pengurusan kredit yang lemah dalam operasi luar pesisirnya di Labuan, dan bukan oleh sebarang penyelewengan.
Beliau juga menyifatkan kerugian tersebut sebagai satu perkara yang terpencil dan tidak melibatkan operasi dalam negeri bank itu, yang masih mencatatkan keuntungan dalam tahun berkenaan.
"Dengan perubahan yang dibuat pada peringkat pengurusan bank itu di Labuan dan di Semenanjung Malaysia, kerajaan yakin bahawa keadaan seperti ini tidak akan berulang," katanya.
Ekoran dari kerugian yang dialami itu, katanya bank berkenaan mengambil langkah memperkukuhkan urus tadbir korporat bank serta kerangka pengurusan risiko dan kreditnya di Labuan.

