Malaysiakini
BERITA

Ada cubaan burukkan kredibiliti hakim kes Najib

Diterbitkan
Dikemaskini 28 Jul 2020, 1:20 tengahari

Terdapat percubaan untuk memburukkan kredibiliti Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali setelah dia memutuskan bahawa bekas perdana menteri Najib Razak bersalah atas semua tujuh tuduhan terhadapnya dalam kes SRC International.

Antara tuduhan yang dilancarkan di media sosial itu adalah dakwaan bahawa Nazlan, 51 tahun, adalah cucu saudara Dr Mahathir Mohamad.

Salah seorang yang membuat tuduhan tersebut ialah Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin Malaysia Ramesh Rao, yang merupakan pendukung Najib.

Ramesh membuat tuduhan itu dalam satu ciapan di Twitter yang diulang ciap lebih 200 kali.

Ketika dihubungi, anak sulung Mahathir, Marina, 63, mengatakan bahawa dakwaan tersebut tidak benar.

"Kami rasa bangga kerana mereka berpendapat hakim berpengalaman seperti itu mempunyai kaitan keluarga dengan kami, tapi ini tidak benar," katanya kepada Malaysiakini.

Untuk rekod, cucu sulung Mahathir kini berusia 33 tahun.

Peguam New Sin Yew mengesahkan dengan Malaysiakini bahawa mesej seperti itu boleh dianggap menghina mahkamah

Selain dakwaan itu, pihak lain yang cuba menjatuhkan kredibiliti Nazlan juga mendakwa bahawa dia adalah salah seorang hakim yang membebaskan dan melepaskan wakil rakyat DAP P Gunasekaran atas dua tuduhan menyokong kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

 

Untuk rekod, keputusan kes itu dibuat Nazlan selepas pendakwaan memberitahu mahkamah bahawa mereka telah menerima arahan daripada Jabatan Peguam Negara untuk menghentikan prosiding terhadap tertuduh.

Najib hari ini disabitkan bersalah atas penyalahgunaan kuasa, pecah amanah j, dan pengubahan wang melibatkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd (SRC).

Dalam penghakiman hari ini, Nazlan menolak dakwaan bahawa Najib ditipu oleh ahli perniagaan Jho Low.

Nazlan juga menolak dakwaan bahawa wang dalam akaun bank Najib adalah derma, dengan mengatakan bahawa sebagai bekas perdana menteri, beliau tidak berusaha untuk mengesahkan surat dari keluarga diraja Arab Saudi, yang didakwa merupakan penderma tersebut.

Nazlan juga menyatakan bahawa Najib tidak menghantar ucapan terima kasih kepada Raja Abdullah.

Najib dijatuhkan hukuman penjara 72 tahun bagi kesemua kesalahan, namun akan dijalankan serentak menjadikan tempoh sebenar 12 tahun, serta denda RM210 juta.

Hakim membenarkan penangguhan hukuman, tetapi menaikkan jumlah jaminan sebanyak RM1 juta.

*Laporan tambahan oleh Zikri Kamarulzaman

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.