MB kata DUN Sgor singkat kerana tiada bil baru dibentangkan
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo menjelaskan bahawa Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dijalankan dalam masa yang singkat kerana tiada sebarang undang-undang atau bil baru yang dibentangkan.
Beliau berkata demikian dalam wawancara yang disiarkan oleh Web TV MBSELANGOR di lamanweb www.mbselangor.net.my bagi mengulas mengenai perkara tersebut.
Lamanweb Selangor Daily.com memetik Dr Mohd Khir sebagai berkata kerajaan negeri itu telah bertindak proaktif membincang dan meluluskan banyak undang-undang dan bil yang perlu dalam sidang DUN yang lalu.
Malaysiakini
dan beberapa akhbar Cina semalam melaporkan, DUN Selangor mencatatkan sejarah sebagai persidangan paling pendek selama satu setengah jam.
Dalam wawancara tersebut juga, Dr Mohd Khir berharap dewan digunakan dengan baik untuk menyatakan pandangan-pandangan rakyat melalui wakil rakyat yang dipilih melalui pilihanraya.
Menurut Selangor Daily, menteri besar Selangor itu juga berharap DUN Selangor tidak akan disalahgunakan untuk mengkritik tanpa fakta atau menimbulkan fitnah.
Menurut lamanweb tersebut lagi, sungguhpun tiada ulasan dari Dr Mohd Khir kerana beliau dikatakan berada di China, namun wawancara dalam laman beliau itu, menjelaskan mengapa sidang kali ini pendek sahaja.
Berakhir selepas soaljawab
Menurut laporan malaysiakini, DUN Selangor hanya bersidang selama dua hari dan satu setengah jam dalam tempoh tujuh bulan tahun ini.
Isnin lalu, DUN Selangor hanya bersidang selama satu setengah jam apabila sidangnya berakhir selepas sesi soal-jawab.
Sidang tersebut bermula pada jam 10 pagi dan berakhir selepas hanya empat daripada 169 soalan dijawab.
Selepas berihat selama setengah jam, Menteri Besar mencadangkan usul penangguhan sidang DUN dan disokong oleh Ahli Exco Datuk Tang See Hang. Ahli dewan diberitahu bahawa baki soalan akan dijawab melalui surat.
Wakil tunggal DAP di DUN Selangor, Ng Suee Lim terus mengadakan sidang akhbar selepas sidang tersebut sebagai membantah perkara tersebut. Kejadian tersebut disiarkan dalam beberapa akhbar berbahasa Cina pada 4 Julai lalu.
Ketika dihubungi, Ng berkata, kejadian tersebut amat memalukan dan menunjukkan bahawa kerajaan negeri tidak mengamalkan sepenuhnya proses demokrasi.
"Sudahlah kita tidak mempunyai masa untuk membincang dan meneliti dasar-dasar kerajaan negeri sebelum ini. Tak masuk akal langsung," katanya.
Lawatan ke China
DUN Selangor bersidang tiga kali setahun Mac-April, Jun-Julai dan pada bulan November untuk membentangkan bajet.
Sebelum sidang Isnin lalu, sidang DUN terakhir ialah pada 5 Mac di mana ia berlangsung selama dua hari sahaja, termasuk sehari untuk majlis perasmian sidang. Secara rasminya, DUN Selangor diperuntukkan lima hari bagi setiap sidang.
Sebagai perbandingannya, Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Perak memperuntukkan 12 hingga 14 hari untuk sidang DUN masing-masing.
Seorang wakil rakyat kerajaan yang tidak mahu namanya disebut berkata, beliau mendapatkan tahu yang sidang DUN akan dipendekkan berikutan lawatan kerja menteri besar ke China.
Sementara itu, Dr Kow Cheong Wei (MCA-Kinrara) mengesahkan beliau menyertai delegasi menteri besar melawat China pada 5 hingga 8 Julai lalu.
Ditanya tujuan lawatan tersebut, Tan tidak mahu menggulasnya, sekadar berkata "saya akan bercakap selepas pulang nanti".
Malaysiakini tidak dapat menghubungi Dr Mohd Khir untuk mendapat ulasannya.

