Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Musa Aman umum cukup majoriti bentuk kerajaan baru Sabah
Diterbitkan:  Jul 29, 2020 7:01 PM
Dikemaskini: Jul 30, 2020 2:03 AM

  • Dikemas kini dengan kenyataan sumber Pejabat Ketua Menteri bahawa Shafie masih mempunyai sokongan cukup untuk mempertahankan kerajaan Warisan.

Ahli politik veteran Musa Aman mengumumkan mempunyai cukup majoriti untuk membentuk kerajaan baru Sabah.

Katanya sebuah gabungan baru diterajuinya dibentuk dan dia akan mengemukakan akuan bersumpah (SD) yang mengesahkan sokongan diterima kepada yang dipertua negeri Sabah.

“Saya juga ingin memaklumkan yang Menteri Keselamatan dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Datuk Nardin, setiausaha politik kepada PM telah membuat kunjungan hormat kepada Tuan Yang Terutama pagi tadi untuk memaklumkan gabungan baru yang menyokong Perikatan Nasional di bawah kepimpinan Perdana Menteri YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memperolehi sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan baru,” katanya.

Jika majoriti dapat dibuktikan, gabungan itu akan mengambil alih tampuk kepimpinan negeri daripada Warisan pimpinan Ketua Menteri Shafie Apdal, yang juga sekutu Dr Mahathir Mohamad.

Sabah mempunyai 65 anggota dewan undangan negeri (Adun), termasuk lima Adun dilantik.

Musa, bekas ketua menteri di era BN, harus membuktikan dia mempunyai sokongan sekurang-kurangnya 33 Adun dalam dewan undangan negeri untuk membentuk kerajaan baru.

Pada 19 Julai lalu, Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin membayangkan gabungan baru di Sabah yang disebut sebagai "BN Sabah plus plus" sebagai dasar rundingan kerusi untuk memastikan kemenangan buat PN.

Musa tak cukup sokongan - pejabat KM

Sumber Pejabat Ketua Menteri memberitahu Malaysiakini bahawa Shafie juga masih mempunyai sokongan cukup untuk mempertahankan kerajaan Warisan.

Dia juga dijangka mengumumkan sokongannya, juga dalam bentuk SD.

“Musa tak cukup sokongan. Shafie akan buat pengumuman tak lama lagi,” kata sumber.

Setakat semalam, Warisan yang disokong Upko, DAP dan PKR, mempunyai 43 kerusi dalam dewan.

Pada sidang media sama Musa berkata dia akan menyerahkan SD kepada Yang Dipertua Negeri Sabah, Juhar Mahiruddin, untuk membuktikan ada cukup Adun bagi membentuk kerajaan negeri yang baru.

Bagaimanapun Musa memberitahu ia adalah kerajaan yang ditubuhkan dengan majoriti mudah.

Ketika ditanya jumlah Adun yang ada di belakangnya, Musa tidak mendedahkan sebarang angka.

Sebaliknya dia hanya memberitahu: "Cukup untuk menubuhkan kerajaan dengan majoriti mudah."

"Kami akan berjumpa dengan Tuan Yang Terutama (Yang Dipertua Negeri). Saya akan menyerahkan surat akuan yang telah diberi kepada saya," katanya.

Terdahulu dalam sidang medianya Musa memberitahu Juhar memintanya agar mengemukakan SD yang mengesahkan sokongan diberi Adun Sabah.

"Saya telah menerima surat akuan Adun yg mengesahkan pendirian mereka menyokong gabungan baru yang saya ketuai," katanya.

Musa bagaimanapun tidak menyatakan nama gabungan baru yang dimaksudkannya. Sebaliknya dia memberitahu ia hanya merupakan gabungan pelbagai parti yang menyokong Perikatan Nasional (PN).

Sementara itu, Bernama melaporkan polis mula mengadakan sekatan dan kawalan di laluan pintu masuk utama ke Istana Negeri di Kota Kinabalu malam ini. 

Sinchew Daily melaporkan bahawa 32 ADUN menghadiri sidang media Musa termasuk Musa sendiri, daripada 33 yang diperlukan untuk membentuk majoriti mudah.

Seramai 32 Adun itu disenaraikan seperti di bawah bersama dengan kawasan pilihan raya dan gabungan parti mereka:

Bersatu

1. Hajiji Mohd Noor (Sulaman)

2. Ghulam Haidar Khan Bahadar (Kawang)

3. Mohd. Arifin Mohd Arif (Membakut)

4. Isnin Aliasnih (Kilas)

5. Matbali Musah (Lumadan)

6. Masidi Manjun (Karanaan)

7. Japlin Akim (Usukan)

8. Nizam Abu Bakar Titingan (Apas)

9. Bobbey Ah Fang Suan (Nabawan)

Parti Bersatu Sabah

1. Julita Majunki (Matunggong)

2. Jahid Jahim (Tamparuli)

3. Joniston Lumai @ Bangkuai (Kiulu)

4. Joachim Gunsalam (Kundasang)

Parti Solidariti Tanah Airku Rakyat Sabah (Star)

1. Jeffrey Kitingan (Tambunan)

2. Robert Nordin (Bingkor)

3. Ellron Alfred Angin (Sook)

Umno

1. Musa Aman (Sungai Sibuga)

Bebas

1. Juri Limus (Kuala Penyu)

2. James Ratib (Sugut)

3. Jaffari Waliam (Ahli yang dicalonkan)

Warisan

1. Musbah Jamli (Tempasuk)

2. Hamisa Samat (Tanjong Batu)

3. Abd Muis Picho (Sebatik)

4. Osman Jamal (Balung)

5. Bolkiah Ismail (Pitas)

6. Saddi Abdu Rahman (Sukau)

7. Masiung Banah (Kuamut)

8. Anita Baranting (Tandek)

9. Abd Rahman Kongkawang (Labuk)

DAP

1. Ronnie Loh Ee Eng (Ahli yang dicalonkan)

Upko

1. Abidin Madingkir (Paginatan)

PKR

1. Kenny Chua Teck Ho (Inanam)

Lihat Komen
ADS