Malaysiakini
BERITA

Najib kemuka rayuan sabitan bersalah kes RM42 juta dana SRC

Bernama

Diterbitkan
Dikemaskini 30 Jul 2020, 11:34 tengahari

Bekas Perdana Menteri Najib Razak mengemukakan rayuan terhadap sabitan dan hukuman ke atasnya bagi tujuh pertuduhan berkaitan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Ahli Parlimen Pekan itu memfailkan notis rayuan menerusi Tetuan Shafee and Co di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Jenayah petang ini.

Peguamnya, Muhammad Farhan Muhammad Shafee, ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

“Saya boleh sahkan ia difailkan hari ini,” katanya dalam satu pesanan teks.

Najib kini bebas dengan jaminan RM2 juta berserta dua penjamin.

Pada Selasa, Najib dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas beliau didapati bersalah atas tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan penyalahgunaan kedudukan membabitkan RM42 juta dana SRC.

Dia dihukum penjara 10 tahun bagi setiap kesalahan CBT dan pengubahan wang haram serta 12 tahun dan RM210 juta atau penjara lima tahun dalam kes penyalahgunaan kuasa.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali memerintahkan agar kesemua hukuman penjara berjalan serentak.

Bernama

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.