Empat lesen syarikat kontraktor di Negeri Sembilan telah dibatalkan kerana didapati dimiliki oleh kakitangan kerajaan dan swasta yang masih berkhidmat dan menerima gaji bulanan.

Manakala dua lagi syarikat kontraktor telah disenaraihitamkan kerana menjalankan tugas mengikut perjanjian kontrak.

Ketua Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) Negeri Sembilan Hamdan Ali berkata tindakan itu juga diambil kerana syarikat terbabit didapati memberikan kerja yang ditawarkan kepada syarikat lain.

PKK adalah sebuah agensi yang bertanggungjawab mendaftar, mengeluarkan atau membatalkan lesen, menaik taraf kelas kontraktor, mengesahkan taraf Bumiputera syarikat kontraktor, memberi khidmat nasihat serta menerima aduan dan pertanyaan selian berfungsi sebagai pusat sehenti kontraktor.

Menurut laporan Bernama, Hamdan juga berkata PKK Negeri Sembilan tidak menerima sebarang aduan mengenai kelemahan sistem undian yang dilaksanakan bagi pemilihan kontraktor kelas F mendapat tawaran kerja di negeri itu.

"Sebelum pelaksanaan sistem ini, kami ada menerima laporan bahawa sistem agihan dan tawaran kontrak kerja oleh agensi kerajaan tidak telus," katanya.

Hamdan berkata sistem undian itu bukan sahaja lebih telus malah memberi peluang kepada kontraktor yang belum mendapat tawaran kerja kontrak untuk diundi pada tawaran kerja berikutnya.

Mengikut sistem itu, mereka yang sudah diundi dan mendapat tawaran kerja akan dikeluarkan dari senarai tawaran yang akan datang sehingga pusingan atau giliran mereka tiba.