Ban Chen harap Spura tarik larangan terhadapnya
Seorang ahli pendidikan veteran Cina yang juga kolumnis malaysiakini, Lee Ban Chen berharap kerajaan Singapura akan turut menarik balik larangan terhadapnya untuk memasuki republik itu yang dikenakan sejak empat dekad lalu.
Seorang ahli pendidikan veteran Cina yang juga kolumnis malaysiakini, Lee Ban Chen berharap kerajaan Singapura akan turut menarik balik larangan terhadapnya untuk memasuki republik itu yang dikenakan sejak empat dekad lalu.
Bekas aktivis pelajar di Singapura itu yang kini berusia 64 tahun, ingin melawat republik tersebut untuk menziarah kakaknya yang sedang sakit serta menemui rakan-rakan lama.
"Saya telah membuat rayuan terhadap perintah larangan tersebut sejak 1990-an tetapi tetapi berhasil," katanya.
Lee diisytihar persona non grata (orang yang tidak diingini) oleh kerajaan Singapura pada 1966 selepas dia dibuang daripada Universiti Nanyang (Nantah) ketika itu, di mana beliau mengikuti jurusan kesusasteraan dan bahasa moden.
Pada 1960-an, beliau bertelagah dengan bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew berhubung dasar bahasa, yang dilihat oleh masyarakat Cina di Malaysia dan Singapura sebagai mendiskriminasikan hak mereka mendapatkan pendidikan bahasa ibunda.
Pada 1967, Lee ditahan tanpa bicara di Malaysia di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama tujuh tahun berhubung pembabitannya dalam mogok pekerja ladang di Melaka dan Pahang.
Pelajar ditahan
Nantah, yang ditubuhkan pada 1955, merupakan universiti bahasa Cina yang dibiayai sendiri oleh masyarakat Cina di Malaya dan Singapura. Ia ditutup pada 1980 dan kemudahannya diserapkan ke dalam Universiti Teknologi Nanyang yang menggunakan bahasa Inggeris.
Mengikut memoir Said Zahari seorang wartawan bahasa Melayu yang ditahan tanpa bicara selama 17 tahun di Singapura ramai pelajar Nantah ditahan pada awal 1960-an kerana didakwa sebagai 'komunis' dan 'pelampau Cina'.
Semalam, kerajaan Singapura mengumumkan penarikan balik larangan yang sama terhadap peguam Datuk Param Cumaraswamy dan aktivis alam sekitar Gurmit Singh.
Larangan yang sama terhadap dua ahli akademik Malaysia Dr Chandra Muzaffar dan Dr Jomo K Sundram juga telah ditarik balik masing-masing pada tahun 2003 dan 2004. Terjemahan

