Majlis sambutan kepulangan Dr M 20 Julai
Gabungan penyokong bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan menyambut kepulangan beliau dari luar negeri di Lapangan Terbang Subang pada jam 8 malam 20 Julai ini.
Gabungan penyokong bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan menyambut kepulangan beliau dari luar negeri di Lapangan Terbang Subang pada jam 8 malam 20 Julai ini.
Gabungan tersebut yang menamakan diri mereka sebagai `Gen M' adalah terdiri daripada penyokong Umno, pelajar universiti dan badan bukan kerajaan (NGO) akan hadir untuk menyatakan sokongan mereka kepada Dr Mahathir.
"Adalah tidak salah bagi kami dan sesiapapun untuk menyambut kepulangan seorang tokoh yang banyak menabur jasa kepada negara," kata jurucakap gabungan tersebut yang tidak mahu namanya disebut, ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, 'Gen M' adalah pendekan kepada 'Generasi Dr Mahathir'.
Beliau berkata, tidak ada pihak yang menaja majlis sambutan kepulangan Dr Mahathir itu, melainkan atas kesedaran bahawa bekas Perdana Menteri merupakan seorang tokoh yang banyak berjasa kepada negara.
Untuk itu, katanya orang ramai yang menyokong Dr Mahathir dijemput hadir untuk menyambut kepulangan bekas Perdana Menteri itu sebagai tanda sokongan kepada beliau.
Jelas isu sebenar
Katanya, selain majlis menyambut kepulangan Dr Mahathir, gabungan tersebut juga merancang untuk mengadakan majlis penerangan mengenai isu semasa yang membabitkan Dr Mahathir kepada orang ramai.
Beliau berkata, pihaknya sudah mengenalpasti beberapa kawasan Parlimen yang akan menjadi tempat untuk majlis penerangan mengenai isu Dr Mahathir.
"Kita akan membahagikan risalah kepada orang ramai di kawasan terbabit untuk membolehkan mereka mengetahui dengan jelas mengenai isu sebenar Tun Dr Mahathir," katanya lagi.
Jurucakap itu berkata, gabungan itu mempunyai ahli seramai 470 orang, tetapi ramai lagi yang menyatakan sokongan kepada aktiviti gabungan.
Katanya, jika krisis Dr Mahathir sekarang berpanjangan, pihaknya akan mendaftarkan gabungan sebagai NGO untuk membolehkan ia bergerak secara lebih berkesan.
Kumpulan itu mempunyai lamanweb sendiri yang telah beroperasi sejak dua bulan lalu dan turut menyediakan baju T kepada orang ramai dengan menampilkan perkataan `kami menyokong Tun Dr Mahathir.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.