Malaysiakini
BERITA

Anifah kecam Setiausaha Luar Filipina kerana dakwa Sabah bukan dalam Malaysia

Diterbitkan
Dikemaskini 1 Ogs 2020, 7:43 pagi

Bekas menteri luar negeri Anifah Aman mengecam dakwaan Setiausaha Luar Negeri Filipina Teodoro Locsin Jr yang mengatakan Sabah bukan sebahagian daripada Malaysia.

"Saya selalu menyatakan bahawa kami tidak mengiktiraf dan tidak akan memenuhi tuntutan oleh mana-mana pihak ke atas Sabah.

"Sabah diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan masyarakat antarabangsa sebagai sebahagian daripada Malaysia sejak penubuhan Persekutuan pada 16 September 1963," kata Anifah dalam satu kenyataan hari ini.

Oleh itu, katanya, kenyataan Locsin hanya mendedahkan ketidaktahuan mengenai sejarah dan undang-undang antarabangsa, serta berpotensi merosakkan hubungan dua hala yang baik antara Malaysia dan Filipina.

Anifah menegaskan bahawa tuntutan Filipina ke atas Sabah tidak relevan dan tidak akan diiktiraf.

"Sabah adalah sebahagian daripada Malaysia dan akan sentiasa seperti itu," kata Anifah.

Bekas ketua menteri Sabah Musa Aman juga mengatakan bahawa tuntutan seperti itu oleh Filipina atau pihak lain tidak boleh diiktiraf atau dilayan.

“Sabah adalah sebahagian daripada Persekutuan Malaysia dan tidak ada pertikaian mengenai perkara ini.

"Saya mendesak Filipina, termasuk menteri luarnya, untuk menghentikan naratif jenis ini untuk tujuan politik dalamannya kerana tidak baik untuk hubungan dua hala dalam negara-negara Asean," katanya dalam satu kenyataan berasingan hari ini.

Musa menyorot kes Mahkamah Tinggi kerajaan Malaysia baru-baru ini dengan Nurhima Kiram Fornan & Ors, di mana keputusan hakim Martin Idang menjelaskan bahawa Sabah adalah sebahagian daripada Malaysia dan tidak ada negara lain yang mempunyai hak atau kuasa atas urusan negeri itu.

Musa menambah bahawa rakyat Sabah memilih untuk menjadi sebahagian daripada Persekutuan Malaysia kerana mereka telah menikmati keamanan, kestabilan dan kemakmuran ekonomi di negara ini.

"Oleh itu, izinkan saya sekali lagi menyatakan dengan jelas bahawa kita tidak mengiktiraf atau mengakui sebarang tuntutan Filipina terhadap Sabah," tegas Musa.

Sebelum ini, Locsin dalam kenyataan di Twitter berkata bahawa Sabah bukan sebahagian daripada Malaysia.

Dia berkata demikian sebagai menjawab ciap Kedutaan AS di Filipina, yang menyiarkan gambar ketika memberi bantuan kepada rakyat Filipina yang dihantar dari Sabah.

"Sabah bukan dalam Malaysia jika anda ingin mempunyai kaitan dengan rakyat Filipina," katanya.

Susulan itu, Menteri Luar Negeri Hishammuddin Hussein membidas Locsin kerana mengeluarkan "kenyataan tidak bertanggungjawab yang mempengaruhi hubungan dua hala".

Hishammuddin menambah bahawa Wisma Putra akan memanggil duta besar Filipina untuk mendapatkan penjelasan.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.