Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil membantah keras cadangan mewujudkan zon pelancong bagi membolehkan pusat-pusat hiburan di situ beroperasi sehingga awal pagi.

Katanya, langkah tersebut boleh menimbulkan banyak masalah terutamanya daripada aspek penguatkuasaan dan kesan sosial.

Cadangan tersebut dibuat oleh Kementerian Pelancongan baru-baru ini untuk memberi ruang kepada pelancong untuk mendapatkan hiburan berpanjangan di lokasi-lokasi tumpuan pelancong antaranya Bangsar, Bukit Bintang, Jalan Imbi, Jalan Sultan Ismail, Jalan Raja Chulan dan Sri Hartamas.

Cadangan itu dibuat sejajar dengan syor kementerian itu supaya kerajaan membenarkan pengusaha pusat hiburan, terutamanya disko dan pub yang terletak dalam lingkungan zon berkenaan, melanjutkan operasi sehingga pukul 5 pagi atau lebih.

"Kita tidak setuju langsung. Adakah kita akan buat zon ini hanya untuk pelancong. Apa maknanya itu?" kata Shahrizat kepada pemberita selepas melancarkan kempen membaca akhbar Jawi di SMK Sri Pantai di Kuala Lumpur hari ini.

Menurut laporan Bernama, beliau sebaliknya berkata, kebanyakan pelancong datang ke negara ini bukan kerana ingin ke pusat hiburan tetapi untuk menikmati produk pelancongan lain yang lebih menarik.

Mesyuarat kabinet

Shahrizat yang juga Naib Ketua Wanita Umno berkata, beliau akan menyuarakan pandangannya itu di mesyuarat kabinet sekiranya isu itu dibangkitkan.

"Kalau ikutkan, kita mahu supaya semua pusat hiburan ini menamatkan waktu operasi selewat-lewatnya jam 12 malam," katanya.

Berdasarkan peraturan sedia ada, pusat-pusat hiburan hanya dibenarkan beroperasi sehingga jam 1 pagi pada hari biasa dan sehingga jam 3 pagi pada hujung minggu.

Shahrizat juga tidak puas hati dengan pengkuatkuasaan pihak berkuasa tempatan yang didakwanya mengecewakan, terutama dalam menentukan pusat-pusat hiburan tidak beroperasi di luar waktu yang dibenarkan.

"Kita juga perlu lihat siapa yang dibenarkan masuk ke pusat-pusat hiburan itu. Kalau ikut peraturan, umur 21 tahun ke bawah tidak dibenarkan masuk ke tempat yang menjual alkohol tapi sekarang ada remaja yang umur 15 tahunpun dibenarkan masuk," katanya.