Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jangan celupar - Exco Armada tegur ketua penerangan Umno
Diterbitkan:  Aug 1, 2020 6:57 PM
Dikemaskini: 1:52 PM

Ketua Penerangan Umno Shahril Sufian Hamdan selaku pemimpin utama gabungan PN jangan celupar, tegur Exco Armada Nasional Bersatu Muzzammil Ismail.

Beliau mengulas kenyataan Shahril yang menasihatkan Pengerusi Bersatu Sabah Hajiji Noor supaya “jangan bermimpi” susulan selepas menyatakan hasrat partinya untuk bertanding 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.

Muzzammil menyoal Shahril, berkata "lupakah Umno rebah di Sabah pada PRU14?"

"Apa yang dinyatakan oleh Pengerusi Bersatu, Hajiji adalah hasrat Bersatu, dan sememangnya berdasarkan rekod baik Adun Bersatu sebelum ini.

"Kenapa Sharil Hamdan melompat lebih hanya kerana risau kerusi Umno berisiko dipertandingkan oleh Bersatu? 

 "Adakah rakyat telah menerima Umno pada hari ini?

"Sebaliknya selesaikan di meja rundingan dan bukan melalui serangan di media," katanya.

Ketua Penerangan Umno Shahril Sufian Hamdan.

Beliau turut menasihatkan pemimpin Umno dan Bersatu supaya tidak mengulangi kesilapan PH sebelum ini yang berpecah.

"Pimpinan utama Umno dan Bersatu kena jaga perkara ini dan jangan celupar. Warisan masih lagi mempunyai ‘strong base’ di Sabah.

"Muhasabah diri dan jangan terlalu ego. Kita kena bijak mengatur politik di sini. Jangan pula, menembak antara satu sama lain," katanya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Bersatu Titiwangsa Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal pula berkata "adalah terlalu awal untuk mana-mana pihak memberikan komen, terutamanya jika ia hanya mengeruhkan keadaan."

"Namun begitu saudara ketua penerangan Umno tidak seharusnya melemparkan kata-kata kurang manis kepada seorang pemimpin kanan negeri berautonomi seperti Sabah," katanya pada suatu kenyataan hari ini.

Fayhsal yang juga timbalan menteri belia dan sukan berkata Bersatu Sabah sebagai sebuah blok besar dalam politik tanah air berhak melakukan perancangan mereka sendiri sebelum memulakan perbincangan lanjut dengan pimpinan pusat dan rakan-rakan sekutu.

"Kita hormati autonomi Sabah dan peranan yang dimainkan oleh Bersatu negeri," katanya lagi.

PRN Sabah bakal diadakan selepas DUN semasa dibubarkan.

Perkara itu diumumkan oleh Ketua Menteri Mohd Shafie Apdal pada Khamis lalu, beberapa jam selepas Musa mendakwa blok pembangkang memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri baru.

Lihat Komen
ADS