Malaysiakini
BERITA

Laporan: Umno tak maklum PAS keputusan tolak sertai PN - Takiyuddin

Diterbitkan
Dikemaskini 1 Ogs 2020, 10:26 pagi

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan memaklumkan parti itu tidak diberitahu mengenai keputusan Umno tidak menyertai PN sebelum ini dan tiada perbincangan mengenainya di dalam Muafakat Nasional (MN).

Astro Awani melaporkan Takiyuddin berkata perkara berkenaan "dijangka dibincangkan dalam masa terdekat dan PAS sedang menunggu pelawaan daripada Umno mengenainya."

PAS juga, kata beliau sekali lagi menegaskan sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, sehingga PRU-15.

"Berdasarkan perjanjian dan kita (sebagai) parti Islam, kita berpegang pada janji.

"Perkembangan (yang berlaku) ialah kita (kini) bersama PN, jadi menjadi tanggungjawab (kita) memperkukuh dan pertahankan kerajaan ini," katanya.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini berkata berkata parti itu memutuskan untuk tidak menyertai Perikatan Nasional (PN) secara rasmi.

Zahid pada 30 Julai lalu berkata Umno sebaliknya akan terus memperkasakan MN bersama-sama dengan PAS dan parti komponen BN yang lain.

Menurutnya, sokongan kepada Kerajaan PN hanya berlandaskan sokongan anggota parlimen Umno dan BN di Dewan Rakyat dan Adun di peringkat negeri.

"Keputusan Umno untuk tidak menyertai PN, sebagai komponen telah diputuskan oleh Majlis Tertinggi (MT) di dalam mesyuarat pada 24 Julai yang lalu.

"Dalam keputusan itu, Umno berpendapat MN, yang mana piagam dan memorandum persefahamannya telah ditandatangani, adalah wadah terbaik untuk Umno, PAS dan parti komponen BN dalam menghadapi apa jua kemungkinan dalam waktu terdekat ini," katanya.

Pengumuman Zahid itu sekaligus menutup ramalan sebelum ini bahawa PN yang kini diketuai oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin akan didaftarkan sebagai gabungan politk yang rasmi sebelum menghadapi PRU15.

Zahid juga memberitahu bahawa partinya akan mempertimbangkan hasrat Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang menyatakan sedia menyertai MN iaitu sebuah piagam politik antara Umno dan PAS.

Bagaimanapun, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Redzuan Md Yusof menyangkal kenyataan Zahid itu bahawa Bersatu ada membuat permohonan untuk menyertai MN.

Redzuan berkata, sebaliknya Bersatu yang menerima jemputan untuk menyertai gabungan tersebut.

“Muhyiddin tidak pernah memohon menyertai MN, cuma di jemput oleh MN.

“Kenyataan Zahid tidak tepat,” katanya.

Kemudian, Setiausaha Bersama Sekretariat Muafakat Nasional Annuar Musa tampil menjelaskan MN telah membuat pelawaan rasmi kepada Bersatu untuk menyertai gabungan itu.

Katanya presiden Umno dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang serta perdana menteri selaku presiden Bersatu telah membincangkan perkara itu sejak berbulan lalu.

PN merupakan gabungan yang merangkumi Umno, PAS, Bersatu termasuk kem bekas timbalan presiden PKR Mohamad Azmin Ali serta Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang ditubuhkan secara tidak rasmi susulan 'Langkah Sheraton' pada Februari yang lalu.

Walaupun beberapa langkah awal termasuk menubuhkan jawatankuasa untuk mengkaji pendaftaran PN sebagai gabungan politik yang rasmi, namun ia tidak tercapai ekoran dakwaan pertindihan pembahagian kerusi pilihan raya khususnya antara Bersatu dan Umno.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.