Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Agihan kerusi boleh selesai jika Bersatu sertai Muafakat Nasional - Tajuddin

Isu agihan kerusi antara Umno dan Bersatu boleh diselesaikan jika parti serpihan itu bertindak menyertai Muafakat Nasional.

Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno, Tajuddin Abdul Rahman, berkata melalui cara itu Umno dan Bersatu dapat memberi fokus menentang musuh sebenar mereka.

"Kalau Bersatu dapat bersetuju (sertai Muafakat Nasional), tak ada (pertembungan) tiga penjuru. Itu idea yang baik. Kalau sekiranya Bersatu sertai Muafakat Nasional, alhamdulillah.

"Pembahagian kerusi, semua orang melihat ke situ, selesaikan dulu dari segi dasar. Dasarnya kita tidak mahu ada persaingan sesama kita dalam Perikatan Nasional (PN).

"Pembahagian kerusi saya rasa boleh bincang kalau bagi secara adil tak ada masalah. Kawasan Umno bagilah Umno tanding, takkanlah Umno parti yang besar nak tanding 20 kerusi," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Pada 30 Julai lalu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa Bersatu berhasrat untuk menyertai Muafakat Nasional.

Menurut Zahid perkara itu disuarakan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dalam pertemuan dengan anggota Parlimen BN.

"Hasrat Bersatu ini akan diperbincangkan dengan PAS untuk diperhalusi.

"Jawatankuasa Induk Muafakat Nasional sebelum ini telah memutuskan untuk Umno dan PAS memberi keutamaan bagi memperkukuhkan Muafakat Nasional," kata Zahid.

Sementara itu Tajuddin secara peribadi berkata beliau mengalu-alukan penyertaan Bersatu ke dalam Muafakat Nasional.

Bagaimanapun katanya, biar jawatankuasa induk Muafakat Nasional menentukan penyertaan Bersatu.

"Saya mengalu-alukan penyertaan Bersatu. Ini akan dapat menyelesaikan isu untuk ketiga-tiga parti bekerjasama bagi bentuk kerajaan sekarang dan akan masa datang," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS