mk-logo
Berita
ATM patahkan cubaan seludup 600 burung murai ke Indonesia
Diterbitkan:  Aug 2, 2020 4:19 PM
Dikemaskini: 8:19 AM

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menggagalkan cubaan menyeludup 600 ekor burung murai dianggarkan bernilai antara RM18,000 hingga RM 24,000 menerusi Op Benteng di Kampung Punggai, Bandar Penawar, Johor, malam tadi.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen) dalam satu kenyataan, hari ini memaklumkan pasukan Ketujuh Infantri Malaysia (7 Briged) yang bertanggung jawab menyelia kawasan itu menerima maklumat orang awam yang melihat sebuah bot mencurigakan berada di persisiran pantai di Kampung Punggai.

“Susulan itu, Tim Quick Reaction Force (QRF) pasukan Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (1 RRD) bertindak kira-kira 10.15 malam dan menemui 60 bekas (crates) berisi 600 ekor burung murai yang cuba diseludup ke Indonesia.

“Barang rampasan diserahkan kepada Perhilitan (Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara) Johor untuk tindakan lanjut dan laporan telah dibuat di Balai Polis Bayu Damai,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan mereka yang terlibat melarikan diri setelah menyedari kehadiran pasukan keselamatan.

Katanya, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) turut mengatur gerak sebuah bot untuk membuat pencarian di kawasan perairan namun bot yang digunakan penyeludup serta suspek masih belum ditemukan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS