Indeks Persepsi Rasuah Malaysia yang lebih objektif akan diwujudkan untuk mengukur tahap rasuah sebenar di negara ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mohamed Nazri Aziz.

Katanya, kerajaan dalam proses mewujudkan indeks tersebut yang juga akan digunakan untuk mengatur strategi yang lebih berkesan untuk menangani masalah rasuah di Malaysia.

"Di samping itu, kita juga akan melihat indeks yang sedia ada yang digunakan di peringkat antarabangsa," katanya semasa menjawab soalan Datuk Chor Chee Heung (BN-Alor Star) di Dewan Rakyat hari ini.

Menurutnya, Badan Pencegah Rasuah (BPR) membuat 1,444 tangkapan bersabit kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam tempoh empat tahun sehingga 2004.

Katanya, 663 kertas siasatan dibuka pada 2001 dengan 318 ditangkap, 1,063 kertas siasatan dibuka pada 2002 dengan 290 tangkapan, 1,058 siasatan pada 2003 dengan 339 tangkapan dan 992 siasatan pada 2004 dengan 497 tangkapan.

Katanya, kerajaan juga tidak bercadang untuk meletakkan BPR di bawah Parlimen kerana ia telah menunjukkan kewibawaannya untuk bertindak secara bebas dan menjalankan siasatan tanpa campur tangan mana-mana pihak.

"Saya percaya BPR bebas menjalankan tugas dan tanggungjawabnya serta tidak perlu ada arahan daripada kerajaan untuk melihat mana-mana kes tertentu," katanya menjawab soalan tambahan Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor).

Tingkat kemahiran

Selain itu, katanya, BPR juga sedang menerokai siasatan di bidang forensik, perakaunan, forensik komputer dan kejuruteraan di mana latihan dalam bidang ini dijalankan di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia.

Menurut laporan Bernama, akademi yang pertama seumpamanya di rantau Asia-Pasifik itu ditubuhkan untuk memberi latihan bagi meningkatkan kemahiran pegawai BPR secara kursus dalam perkhidmatan.

Menjawab soalan Donald Peter Mojuntin (BN-Penampang), beliau berkata pegawai badan ini juga akan turut dihantar ke luar negara untuk mendapatkan latihan bagi meningkatkan kemahiran mereka.

Menurutnya, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) juga sedang menimbangkan permohonan pertambahan keanggotaan BPR dan pembukaan pejabat cawangan baru di negeri-negeri.

Sementara itu, Mohamed Nazri berkata tujuan BPR merahsiakan perjalanan sesuatu siasatan adalah untuk tidak menjejaskan kes berkenaan di samping untuk melindungi orang yang disiasat.

"Apabila sesuatu aduan itu dibuat, bukanlah merupakan hak seorang pengadu untuk pada setiap masa untuk mendapatkan maklumat berkenaan kemajuan siasatan sesuatu kes," katanya menjawab soalan tambahan Donald.

Beliau turut menafikan faktor gaji rendah menjadi punca pegawai BPR lembab dalam bertindak terhadap sesuatu aduan atau menjalankan sesuatu siasatan.

Menjawab soalan tambahan Datuk Rosli Mat Hassan (BN-Dungun), beliau berkata apa yang perlu dilakukan sekarang ialah mengambil langkah bagi meningkatkan kecekapan dan prestasi pegawai BPR.