Persatuan Bekas Wakil Rakyat Barisan Nasional (Mubarak) Kelantan belum memutuskan untuk membatalkan 'Majlis Bersama Dr Mahathir' pada 27 Julai ini, kata Pengerusinya, Datuk Ahmad Shahibuddin Mohd Noor hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, kenyataan yang dibuat oleh Naib Pengerusinya, Datuk Rozali Isohak Ahad lalu mengenai pembatalan majlis tersebut bukanlah keputusan jawatankuasa Mubarak Kelantan.

Rozali dilaporkan berkata majlis tersebut dibatalkan kerana bimbangkan kehadiran Dr Mahathir akan dieksploitasi oleh pihak tententu berikutan kritikan keras bekas Perdana Menteri itu terhadap pentadbiran Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, khusunya mengenai isu pembatalan jambatan baru ke Singapura, penjualan MV Agusta serta pemberian Permit Import (AP) kereta.

Ahmad Shahibuddin berkata setakat ini jawatankuasa persatuan belum mengadakan sebarang mesyuarat untuk mebincangkan perkara itu, apatah lagi untuk membatalkannya.

"Saya terkejut membaca berita mengenainya ketika sedang berada di Kuala Lumpur. Persoalannya, siapakah yang memberi kuasa kepada Datuk Rozali untuk membuat pengumuman tersebut," katanya ketika dihubungi malaysiakini untuk mengulas berita pembatalan tersebut.

Berikutan itu, beliau berkata, pihaknya akan meminta Rozali untuk memperjelaskan mengapa beliau membuat pengumuman membatalkan majlis tersebut tanpa pengetahuan jawatankuasa Mubarak Kelantan.

Dr M banyak jasa

Katanya, jawatankuasa berkenaan akan mengadakan mesyuarat dalam masa dua hari lagi bagi membincang dan memutuskan sama ada majlis tersebut akan diteruskan atau sebaliknya.

Sementara itu, katanya, jawatankuasa Mubarak pusat meminta pihaknya menangguhkan majlis tersebut atas alasan ianya tidak sesuai dengan perkembangan politik semasa.

"Bagaimanapun, saya tidak boleh membuat sebarang keputusan melainkan ia mendapat persetujuan jawatankuasa Mubarak negeri," tambahnya.

Mengenai respons ahli Umno di Kelantan, Ahmad Shahibuddin berkata, mereka dilihat 'berbelah-bagi' terhadap rancangan untuk mengadakan majlis bersama Dr Mahathir itu.

"Jangan pandang rendah Tun Dr Mahathir kerana beliau seorang pemimpin yang berpengalaman dan banyak jasa kepada negara dan Umno.

"Orang mula lupa terhadap Dr Mahathir sedangkan sebelum ini mereka menyanjung tinggi bekas Perdana Menteri itu sehingga bersedia mencium tangannya.

Tekanan Umno Kelantan

"Mubarak tahu kita hanyalah menumpang kepada Umno negeri tetapi mereka (Umno negeri) tidak boleh sesuka hati menentukan hala-tuju Mubarak Kelantan," tambahnya.

Ahmad Shahibudin berkata, Umno negeri mengguna kuasa untuk menekan Mubarak negeri supaya tunduk terhadap kehendaknya supaya membatalkan majlis bersama Dr Mahathir itu.

Beliau merujuk kepada kenyataan Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Annuar Musa sebelum ini, yang meminta Mubarak Kelantan supaya membatalkan majlis tersebut berikutan memuncaknya krisis antara Dr Mahathir dengan Abdullah sekarang.

Annuar dilaporkan berkata, majlis itu perlu dipertimbangkan semula kerana ia tidak sesuai diadakan dalam keadaan sekarang.

Jika dianjurkan juga, beliau khuatir ia akan menimbulkan salah tanggapan terhadap pendirian rakyat Kelantan dalam konflik membabit dua pemimpin tersebut.