Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib tak diberi amaran ketika tandatangani urus niaga dengan Aabar 'palsu' - saksi

KES 1MDB NAJIB | Mahkamah diberitahu bahawa bekas perdana menteri Najib Razak diberi amaran berhubung sebarang keraguan ketika dia menandatangani resolusi pemegang saham untuk usaha sama 1MDB dengan Aabar Investments PJS Ltd (Aabar BVI) yang berpangkalan di Virgin Islands.

Aabar BVI ditubuhkan untuk menyerupai Aabar Investments PJS, sebuah subsidiari International Petroleum Investment Company (IPIC) milik kerajaan Abu Dhabi. Hakikatnya Aabar BVI tiada apa-apa kaitan dengan kerajaan Abu Dhabi.

Dalam perbicaraan kes rasuah RM2.28 bilion dana 1MDB terhadap Najib di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, peguam bela Wan Aizuddin Wan Mohammed ketika pemeriksaan balas bertanya kepada bekas CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi tentang resolusi pemegang saham yang menerima terma dan syarat usaha sama tersebut.

Shahrol mengaku bahawa dia tidak memberi penerangan kepada Najib mahupun Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) berhubung pelaksanaan dokumen itu.

Bagaimanapun dia menegaskan bahawa Najib tidak pernah menyuarakan apa-apa komen negatif berkenaan resolusi.

Wan Aizuddin kemudian menyoal Shahrol jika ada yang mungkin dapat melihat ada yang tidak kena jika mereka melihat dokumen itu.

Wan Aizuddin: Adakah anda setuju bahawa secara permukaannya, melihat kandungan dokumen, tanggapannya adalah usaha sama antara 1MDB dan Aabar yang sebenar?

Shahrol: Ya.

Wan Aizuddin: Adakah boleh dikatakan bagi kalangan yang tidak tahu, apabila anda melihat 1MDB dan Aabar Investments PJS Limited, individu yang tidak diberitahu berkenaan keanehannya akan mengaggap ia (hal yang betul)?

Shahrol: Ya.

Wan Aizuddin: Apabila Najib melakanakan resolusi, ia menyatakan Aabar. Ia tidak menunjukkan apa-apa yang perlu dibimbangkan (Najib)?

Shahrol: Ya.

Usaha sama itu, yang akhirnya tidak diteruskan, digunakan sebagai asas untuk 1MDB meraih bon ketiganya berjumlah AS$3 bilion yang diuruskan oleh Goldman Sachs.

Seperti dua bon sebelumnya yang berjumlah AS$3.5 bilion, yang juga diuruskan Goldman Sachs, dana yang diraih daripada bon ketiga juga diselewengkan.

Usaha sama 1MDB dan Aabar berkaitan dengan projek Tun Razak Exchange (TRX), sebuah pembangunan di tanah pegangan bebas di Daerah Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIFD).

Semasa pemeriksaan balas dengan Wan Aizuddin, Shahrol juga berkata dia tidak boleh mengulas berkenaan sama ada Najib hanya bertindak berdasarkan apa yang dibentangkan kepadanya.

Dia juga enggan mengulas berkenaan sama ada Najib tidak mendapat gambaran penuh struktur usaha sama itu akibat daripada apa yang dibentangkan kepadanya.

Perbicaraan di depan hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung pagi esok.

Najib berdepan empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukan bagi mendapatkan suapan dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram berkaitan RM2.28 bilion dana 1MDB.

Lihat Komen
ADS