Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Takiyuddin jelas menghina Fadzil Noor, kata Faiz
Diterbitkan:  Aug 4, 2020 7:49 PM
Dikemaskini: 11:49 AM

Anak Allahyarham Fadzil Noor menyifatkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan, menghina bapanya apabila menyamakan kunjungan Abdul Hadi Awang ke rumah Najib Razak dengan kedatangan bekas presiden PAS itu bertemu Anwar pada 1998.

Menurut Faiz Fadzil, sangat tidak wajar Takiyuddin memberi pandangan begitu ketika keadaan, konteks dan kesannnya begitu berbeza.

Kata Faiz kunjungan arwah bapanya ke rumah Anwar lebih 20 tahun dulu dibuat kerana ahli politik berkenaan dizalimi dan difitnah.

Justeru menurutnya pembelaan terhadap Anwar dibuat dalam konteks menentang kezaliman yang selaras dengan tuntutan Islam dan menjadi teras perjuangan PAS.

"Sebaliknya, kunjungan Abdul Hadi adalah untuk membela Najib yang menzalimi rakyat dengan mencuri wang dan bertentangan dengan prinsip Islam, sepertimana firman Allah dalam ayat 113 Surah Hud mengenai perintah mencegah manusia daripada cenderung menyokong kezaliman," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pagi tadi semasa berbahas di Dewan Rakyat, Takiyuddin memberitahu, tiada yang luar biasa pada kunjungan beberapa pemimpin kanan PAS ke rumah Najib pada hari bekas perdana menteri itu disabitkan bersalah oleh mahkamah.

Takiyuddin yang juga setiausaha agung PAS itu berkata kunjungan tersebut sama seperti apa yang dilakukan Fadzil selepas Anwar dipecat daripada kerajaan dan Umno.

Selain Abdul Hadi, turut menyertai lawatan itu ialah Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man dan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Khairuddin Aman Razali; serta Takiyuddin sendiri.

Kenyataan dibuat Takiyuddin itu adalah sebagai menjawab soalan bekas menteri yang juga Anggota Parlimen Batu Sapi dari Warisan, Liew Vui Keong.

Kata Faiz kunjungan arwah bapanya terhadap Anwar juga kemudian mencetuskan gelombang kebangkitan rakyat, sebaliknya pertemuan rombongan Abdul Hadi hanya membangkitkan kekeliruan dalam kalangan umat Islam.

Melihat peristiwa itu, kata anggota Jawatankuasa Pimpinan Nasional Amanah berkenaan, timbul kekeliruan mengenai sikap sebenar Islam terhadap pesalah yang disabitkan oleh mahkamah.

"Tindakan PAS itu memberikan isyarat negatif kepada generasi muda yang boleh menganggap jenayah rasuah cuma suatu perkara kecil.

"Justeru, saya mendesak Takiyuddin menarik balik kenyataan tersebut kerana jelas menghina Almarhum Fadzil Noor," katanya.

Lihat Komen
ADS