Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kunjungan Hadi ke rumah Najib macam Fadzil Noor jumpa Anwar dulu, kata Takiyuddin

PARLIMEN | Takiyuddin Hassan menyamakan kunjungan Presiden PAS Abdul Hadi Awang ke kediaman Najib Razak selepas bekas perdana menteri itu disabitkan bersalah oleh mahkamah sama seperti tindakan Allahyarham Fadzil Noor menziarahi Anwar Ibrahim selepas tokoh terbabit dipecat daripada Umno.

Menurut menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) itu kunjungan sedemikian bukanlah sesuatu yang luar biasa.

“Pada satu masa dulu ketika Port Dickson (Anwar Ibrahim) dikenakan tindakan oleh parti dia dan mahkamah, presiden PAS pada masa itu (Fadzil ) telah berkunjung menziarahi Port Dickson.

"Pada masa tu bukan Port Dickson tapi (ahli parlimen) Permatang Pauh," katanya semasa menjawab soalan tambahan daripada Liew Vui Keong (Warisan-Batu Sapi) di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu Liew bertanya mengenai perbuatan menghina mahkamah yang dianggapnya sebagai 'norma baru' dalam kerajaan Perikatan Nasional.

Bekas menteri di JPM pada era Pakatan Harapan (PH) itu berkata ada ramai orang menggunakan media sosial seperti Twitter untuk mengulas keputusan mahkamah.

"Kita juga dapat lihat yang berhormat menteri yang duduk di sana (blok kerajaan) bersama menteri air (Tuan Ibrahim Tuan Man), duta bertaraf menteri ke Timur Tengah (Abdul Hadi) dan menteri komoditi (Khairuddin Aman Razali) bersama YB Pekan (Najib)..." katanya sambil memetik ciapan dibuat Takiyuddin pada hari berkenaan.

Anwar dipecat dari Umno

Menurut Liew, sebelum ini seorang aktivis, Ramesh Rao Krishnan Naidu - yang dikenali sebagai penyokong tegar Najib - sudah dipanggil ke Bukit Aman untuk memberi keterangan kerana mengaitkan hakim dengan Dr Mahathir Mohamad.

Justeru kata Liew dia inginkan penjelasan mengenai hal itu dan sama ada berlaku amalan berpilih mengenai isu menghina mahkamah.

Untuk rekod selepas Najib disabitkan bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram, sekumpulan pemimpin kanan PAS mengadakan kunjungan ke rumah ahli parlimen Pekan itu.

Selain Abdul Hadi, Khairuddin dan Tuan Ibrahim, rombongan tersebut turut disertai Takiyuddin yang juga setiausaha agung PAS.

Pada 1998 Anwar dipecat daripada jawatannya dalam kerajaan dan parti oleh Mahathir. Dalam keadaan ketidaktentuan politik itu Fadzil - yang ketika itu menjadi presiden PAS - berkunjung menemui Anwar di rumahnya.

PAS kemudian menyertai gerakan sivil yang digerakkan oleh penyokong Anwar sebelum mereka menubuhkan Parti Keadilan Nasional yang kini dikenali sebagai PKR.

Kata Takiyuddin pertanyaan Liew itu mungkin merujuk kepada kunjungannya dan beberapa pemimpin PAS ke rumah Najib.

Ahli Parimen Batu Sapi, Liew Vui Keong

“Untuk pengetahuan yang berhormat Batu Sapi dan ahli-ahli yang berhormat, amalan sebegini bukan satu perkara yang luar biasa," katanya.

Terdahulu Liew meminta menteri di JPM menyatakan adakah kerajaan bercadang memperkenalkan undang-undang khas seperti di Singapura untuk menangani kes-kes menghina mahkamah yang kian meningkat, terutamanya di media sosial.

Dalam jawapannya Takiyuddin berkata kerajaan sedang mengkaji keperluan untuk menggubal undang-undang khusus bagi menangani kes-kes seumpama itu.

"Dalam hal ini, Jabatan Peguam Negara sedang menjalankan kajian dengan membuat perbandingan dengan undang-undang di negara luar seperti United Kingdom, India dan Singapura.

"Kerajaan akan mendapatkan input daripada semua pemegang taruh yang berkepentingan," katanya.

Lihat Komen
ADS