Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Turunkan harga pelitup muka pada kadar sebelum Covid-19'
Diterbitkan:  Aug 4, 2020 10:08 PM
Dikemaskini: 2:14 PM

Bekas timbalan menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna Chong Chieng Jen menggesa kementerian itu agar menurunkan harga pelitup muka tiga lapis diturunkan kepada kadar harga sebelum wabak Covid-19 menular.

Gesaan itu susulan ketetapan kerajaan untuk mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat sesak.

Harga runcit pelitup muka pakai buang sebelum wabak Covid-19 adalah RM0.80 seunit.

Kerajaan sebelum ini merancang untuk menaikkannya kepada RM2 seunit atas dasar kekurangan bekalan global pada 20 Mac tetapi menetapkan harga kepada RM1.80 selepas bantahan awam.

Bermula 15 Ogos ini, kerajaan merancang untuk menurunkannya kepada RM1.20 seunit.

Chong Chieng Jen

Bagaimanapun Chong yang juga pengerusi DAP Sarawak berkata kerajaan patut menurunkannya lagi sehingga RM0.80 seunit seperti sebelum wabak Covid-19.

"Sejak Jun lalu, bekalan pelitup muka global telah disesuaikan sewajarnya untuk memenuhi peningkatan permintaan.

"Kini, kos pengeluarannya telah kembali kepada waktu sebelum Covid-19 dan harga siling pelitup muka tiga lapis sebelum ini, iaitu RM0.80, dapat memberi marjin keuntungan yang baik kepada peniaga untuk terus beroperasi.

"Walaupun kos pengeluaran pelitup muka telah menurun kepada waktu sebelum Covid-19, dengan kerajaan menetapkan harga siling pada RM1.20 seunit, ia memberi tanggapan bahawa kadar itu adalah harga runcit yang munasabah meskipun harga itu memberikan margin keuntungan yang besar.

"Ia tidak bagus untuk kepentingan pengguna secara umumnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya lagi, harga itu akan menyebabkan beban kewangan kepada keluarga miskin, ditambah pula dengan denda RM1,000 jika gagal mematuhi peraturan pemakaiannya.

Terdahulu hari ini, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menggesa kerajaan agar menyediakan pelitup muka boleh kitar kepada golongan B40 dan pelajar sekolah.

Pertubuhan itu turut mengedarkan kira-kira 2,000 pelitup muka kepada golongan B40 sejak semalam.

Untuk rekod, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah pada 29 Julai berkata, kerajaan sedang melihat kaedah untuk membekalkan pelitup muka tiga lapis secara percuma kepada golongan yang memerlukan.

Lihat Komen
ADS