mk-logo
Berita
Dokumentari Al Jazeera: Polis geledah pejabat Astro, Unifi TV
Diterbitkan:  Aug 4, 2020 11:31 PM
Dikemaskini: 3:34 PM

Bukit Aman mengesahkan polis telah melakukan serbuan bersama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia terhadap pejabat Astro dan Unifi TV.

Terdahulu dilaporkan serbuan serupa dibuat di pejabat stesen penyiaran Qatar Al Jazeera.

Serbuan itu merupakan sebahagian siasatan yang sedang berjalan ke atas laporan khas episod "101 East" yang menyorot dakwaan penganiayaan pendatang tanpa izin di Malaysia.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed berkata, polis telah melaksanakan waran geledah yang diberikan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur dan Mahkamah Majistret Sepang terhadap ketiga-tiga stesen penyiaran itu.

"Tindakan pelaksanaan waran geledah ini dilakukan bersama-sama pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang turut membuka kertas siasatan ke atas stesen penyiaran terbabit.

"Serbuan tersebut turut merampas komputer dan kesemua rampasan akan dihantar ke SKMM untuk analisa lanjut.

"Keterangan saksi-saksi lain turut diambil ketika serbuan dilaksanakan bagi membantu siasatan. Dapatan siasatan akan diangkat ke Pejabat Peguam negara dalam tempoh terdekat.

"PDRM menegaskan tindakan yang dilaksanakan adalah berlandaskan undang-undang, tiada individu atau pun entiti yang akan terlepas daripada sebarang tindakan jika jelas mencabuli undang-undang yang berkuatkuasa di Malaysia," katanya.

Untuk rekod, Astro menjalankan perkhidmatan TV satelit manakala Unifi TV pula menjalankan perkhidmatan TV internet. Kedua-dua perkhidmatan ini menawarkan program dari Al Jazeera, yang mempunyai pejabat biro di Kuala Lumpur.

Awal hari ini, Al Jazeera telah mengesahkan bahawa pejabatnya di Kuala Lumpur diserbu pihak berkuasa.

Pengurusan Al Jazeera yang berpusat di Qatar mengecam serbuan itu dan menyifatkannya sebagai serangan bukan semata-mata hanya terhadap stesen penyiaran itu tetapi juga terhadap kebebasan media secara keseluruhan.

Lihat Komen
ADS