Menteri Luar Korea Utara, Paek Nam-Sun dan Setiausaha Negara Amerika, Condoleezza Rice akan menghadiri forum keselamatan tahunan Asean di Kuala Lumpur pada 28 Julai ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, perwakilan dari Korea Selatan, China, Russia dan Jepun akan turut menghadiri Forum Serantau Asean (ARF) itu, bersama dengan anggota Asean.

"Sudah pasti, isu keselamatan di semenanjung Korea akan menarik minat para peserta ARF," katanya.

Korea Utara mencetuskan reaksi tidak senang masyarakat antarabangsa apabila ia melakukan ujian peluru berpandu minggu lalu. Jepun, Amerika dan negara Eropah mahu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenakan sekatan terhadap Korea Utara.

ARF juga akan membawa bersama enam negara yang terbabit dalam rundingan pelucutan senjata nuclear yang dipulau oleh Korea Utara sejak November lalu.

Syed Hamid berkata, Paek akan melakukan rawatan rasmi ke Malaysia selepas selesai mesyuarat tersebut.

Katanya, Malaysia bersedia menjadi tuanrumah mesyuarat antara Jepun dan Korea Utara dalam usaha untuk meredakan ketegangan berikutan isu ujian peluru berpandu tersebut.

Empat dokumen

Malaysia mempunyai hubungan rapat dengan kedua-dua negara dan pada Oktober 2002, telah menjadi tuanrumah mesyuarat antara Jepun dan Korea Utara.

Syed Hamid juga berkata, empat dokumen akan ditandatangani sewaktu mesyuarat tersebut, termasuk rangka perjanjian Asean mengenai pengecualian visa dan pelan bertindak untuk meningkatkan perkongsian Asean-Amerika.

Dokumen lain ialah deklarasi bersama Asean-Kanada untuk memerangi keganasan antarabangsa.

Syed Hamid berkata, Perancis juga telah menandatangani perjanjian damai Asia Tenggara dan menjadi negara Eropah pertama yang menerima Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama Asean.

Penerimaan perjanjian tersebut merupakan syarat untuk menyertai Sidang Puncak Asia Timur kumpulan 16 negara yang dilihat sebagai pelopor kepada Masyarakat Asia Timur ala Eropah. Sidang puncak pertamanya diadakan di Kuala Lumpur Disember lalu.

Kumpulan tersebut komited menghormati kemerdekaan, kedaulatan dan integriti wilayah semua negara anggota dan mengharamkan keganasan dalam menyelesaikan pertikaian serantau.

- AFP