PSM selar 'alasan remeh' Zuraida tolak pilihan raya PBT
Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyelar Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin kerana mengesahkan tiada pilihan raya peringkat kerajaan tempatan akan diadakan Perikatan Nasional (PN).
Timbalan presidennya, S Arutchelvan, berkata PSM sedih kerana Zuraida begitu mudah berputus asa daripada memperjuangkan pilihan raya kerajaan tempatan sambil memberikan alasan yang remeh.
"Ia menunjukkan bahawa seseorang yang begitu berani sebelum ini memecahkan parti (ketika berada dalam PKR), sekarang tidak sanggup melakukannya kali ini walaupun untuk mengemukakan hujah mengapa pemilihan kerajaan tempatan itu amalan yang baik," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Arutchelvan, walaupun PN memberi hujah mengenai aspek perkauman, PSM percaya alasan utama mengapa pilihan raya kerajaan tempatan ditolak ialah kerana pemimpin politik berkenaan mahu melantik orang yang setia kepada mereka ke jawatan tersebut.
Keadaan itu katanya menghalang rakyat memilih sendiri wakil untuk mereka dalam sesebuah pihak berkuasa tempatan (PBT).
Arutchelvan berkata begitu sebagai mengulas pengumuman Zuraida di Dewan Rakyat hari ini bahawa PN tidak akan mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan.
Menurut anggota parlimen Ampang itu, orang awam dan PBT yang ada tidak bersedia untuk mengadakan gerakan "drastik" sebegitu.
Arutchelvan juga bekas anggota Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) turut mengingatkan Zuraida pilihan raya PBT sudah diadakan di negara ini sejak 1950-an dan 1960-an ketika kemudahan teknologi jauh lebih rendah berbanding sekarang.
"Ia ditangguhkan selepas konfrontasi dengan Indonesia pada 1964 dengan dan Darurat pada 1965, bukannya kerana rusuhan kaum 13 Mei 1969," katanya.
Hal itu berlaku, kata Arutchelvan, selepas gabungan Barisan Sosialis Parti Buruh dan Parti Rakyat Malaysia mencatat keputusan baik dalam pilihan raya berkenaan, termasuk memenangi jawatan datuk bandar Pulau Pinang.
Arutchelvan turut memetik laporan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) berkenaan PBT pada Jun 1965 yang merumuskan, pilihan raya peringkat kerajaan tempatan perlu diteruskan malah diperluaskan ke lebih banyak kawasan.
"Penemuan RCI itu tidak dilaksanakan seperti Rang Undang-undang Suruhanjaya Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang dicadang RCI berkaitan," katanya.

