Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Pak guard’ tular dibelasah didakwa cabul wanita Indonesia - Polis

Pengawal keselamatan atau ‘pak guard’ warga Nepal yang menjadi mangsa belasah oleh ketuanya dalam video tular, didakwa diberi 'pengajaran' setelah dituduh mencabul seorang wanita Indonesia bulan lalu.

Lelaki Nepal berusia 26 tahun itu, dikatakan mencabul wanita berusia 40 tahun berkenaan dalam satu insiden yang berlaku dalam sebuah lif di sebuah pusat beli belah, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Nik Ros Azhan Abdul Hamid.

"Suspek didakwa menampar punggung mangsa ketika dia sedang menunggu lif.

"Dia mengikutinya ke dalam lif, meramas kemaluannya dan meraba lehernya.

"Mangsa kemudian bertindak dengan menendangnya," katanya kepada Malaysiakini.

Trauma dengan kejadian itu, tiga hari selepas kejadian berkenaan, mangsa berdepan dengan suspek. Suspek kemudian meminta maaf atas kelakuan tidak senonoh itu.

Wanita berkenaan dikatakan telah memaafkannya.

Namun, setelah mengetahui mengenai kejadian itu, ketua keselamatan syarikat berkenaan dilaporkan menyerang suspek tanpa pengetahuan mangsa.

Video serangan itu menjadi tular di media sosial dan  memberangkan warga maya dengan cara suspek diperlakukan.

Dalam video tersebut, penyerang didengar memarahi ‘pak guard’ itu dalam bahasa Melayu.

Susulan kejadian itu, polis menahan ketua pengawal berkenaan yang juga seorang warga Nepal, bagi membantu siasatan berkaitan dengan serangan tersebut.

Mangsa dipukul juga telah pergi ke ibu pejabat polis daerah Wangsa Maju untuk merakam keterangannya semalam.

Namun, dia ditangkap oleh bahagian D11 polis Kuala Lumpur bagi membantu kes pencabulan.

D11 adalah bahagian di bawah Jabatan Siasatan Jenayah yang antara lain, pakar dalam menyiasat jenayah seksual dan penderaan rumah tangga.

Malaysiakini telah menghubungi peguam mangsa, Sumitha Shaanthinni Kishna untuk mendapatkan ulasannya.

Lihat Komen
ADS