Suhakam gembira PDRM kini sokong IPCMC
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menyambut baik kesediaan Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menerima penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC).
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menyambut baik kesediaan Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menerima penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC).
"Suhakam gembira dengan kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Musa Hassan bahawa pasukan polis tidak akan lagi membantah penubuhan IPCMC," kata Setiausaha Suhakam, Ahmad Yusuf Ngah dalam satu kenyataan semalam.
Jumaat lalu, Musa (foto) memberi jaminan bahawa PDRM akan taat setia kepada kerajaan dan mematuhi sebarang keputusan mengenai IPCMC dan menegaskan bahawa pasukan polis komited dalam melindungi kepentingan rakyat.
Ahmad Yusuf memuji jaminan komitmen yang ditegaskan oleh Musa itu sambil menambah bahawa ia menuju ke arah yang betul.
Oleh itu, beliau mengesyorkan supaya IPCMC ditubuhkan segera bagi memastikan kredibiliti dan ketelusan dalam PDRM.
"Hanya dengan adanya pasukan polis yang berpegang kepada standard kesaksamaan dan profesionalisme yang tinggi, barulah hak asasi manusia dan kebebasan asas akan dihormati," tambah Ahmad Yusuf.
Ubah pendirian
Sebelum ini, beberapa badan yang mewakili kepentingan PDRM mengecam penubuhan IPCMC dengan alasan sudah memadai dengan adanya badan-badan seperti Suhakam untuk menangani aduan orang ramai terhadap pasukan polis.
Badan-badan tersebut turut mendapat sokongan Pemuda Umno yang mendakwa, kumpulan yang mendesak penubuhan IPCMC mempunyai agenda tersembunyi terhadap pasukan polis.
PDRM sendiri turut membantah penubuhan IPCMC di mana Ketua Polis Negara, dalam ucapannya di majlis sambutan ulangtahun pasukanitu Mac lalu, secara terbuka menyuarakan bantahan terhadap penubuhan badan pemantau tersebut.
Dua bulan kemudiannya,
malaysiakini
mendapati kandungan buletin dalaman pasukan itu telah disiarkan dalam lamanweb rasmi pasukan polis, yang mengkritik keras penubuhan IPCMC dengan alasan, antaranya, ia menjejaskan keselamatan negara.
Perkembangan terbaru itu membayangkan bahawa kerajaan tidak akan bertolak ansur dalam penubuhan IPCMC.
Pada 25 Jun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberitahu Parlimen bahawa Pejabat Peguam Negara kini di peringkat akhir mengkaji penubuhan IPCMC.
Penubuhan IPCMC adalah antara 125 syor dalan laporan Suruhanjaya Diraja Untuk Menambahbaik Operasi dan Pengurusan Pasukan Polis Diraja Malaysia pada 2005.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.