Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tindakan akan diambil jika salah guna logo Bersatu - Hamzah
Diterbitkan:  Aug 7, 2020 8:53 PM
Dikemaskini: 12:53 PM

Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainuddin memberi amaran tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka yang menyalahgunakan logo parti itu.

Ini termasuklah logo "Bersatu Blackout" yang digunakan oleh kumpulan pro Dr Mahathir Mohamad untuk memprotes pengguguran keahlian mereka daripada Bersatu.

Dalam satu kenyataan hari ini, Hamzah berkata penyalahgunaan logo Bersatu adalah kesalahan jenayah mengikut Seksen 50(3) Akta Pertubuhan 1966.

Katanya, sekiranya sabit disabitkan kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi tiga bulan atau denda tidak melebihi RM3,000.

"Selain daripada itu, Bersatu juga akan mengambil tindakan tegas terhadap sama ada calon parti atau ahli parti yang menyalahgunakan logo Bersatu, termasuk tindakan membatalkan pencalonan dan/atau mengambil tindakan disiplin termasuk memecat keahlian mereka yang terlibat," katanya.

Pada 31 Julai lalu, Pakatan Harapan (PH) menarik diri daripada bertanding dalam pilihan raya Kecil (PRK) Slim yang akan datang bagi memberi laluan kepada kem Mahathir untuk bertanding.

Hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu ditetapkan pada 15 Ogos, manakala hari mengundi dijadual pada 29 Ogos.

Terdahulu hari ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membatalkan permohonan Mahathir dan empat yang lain untuk mencabar pemecatan mereka darpada Bersatu.

Sehubungan dengan itu, Mahathir mengumumkan akan menubuhkan sebuah parti bebas yang berasaskan Melayu dan Pribumi bagi mengembalikan semula perjuangan asal Bersatu.

Parti baru yang belum dinamakan itu, katanya, tidak akan terikat dengan Pakatan Harapan (PH) mahupun Perikatan Nasional (PN).

Lihat Komen
ADS